
Penyelaras program itu, Mohamad Azan Safar memberitahu FMT wacana terbabit akan dianjurkan kumpulan mahasiswa dan ahli akademik UKM yang dikenali sebagai Diskopi dan Kawah Buku di tempat sama, iaitu Sudut Pidato di Pusanika UKM, tetapi tarikhnya belum ditetapkan.
“Ya, akan dijemput semula dengan nama (program) ‘Sekolah Malam yang Tertunda’ menampilkan Hishamuddin dengan tajuk sama. Bahkan, kami akan meneruskan juga dengan cara yang sama,” katanya sambil menambah tajuk “Reformasi Struktural: Mahathir vs Anwar lagi?” akan dikekalkan.
Selasa lalu, Hishamuddin dilaporkan kesal kerana masih disekat dan ditindas dalam era Malaysia Baharu disebabkan tindakan UKM yang didakwa menghalangnya menyampaikan kuliah dalam sebuah program di kampus universiti itu.
Difahamkan, program yang dihalang itu merupakan wacana siri ke-3 anjuran Diskopi dan Kawah Buku.
Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali bagaimanapun menafikan pihaknya menghalang Hishamuddin menyampaikan kuliah kerana mereka tiada masalah membenarkan aktivis sosial itu berucap di dalam kampus universiti.
Sebaliknya, beliau memberi alasan program itu terpaksa dibatalkan kerana lokasi sama sudah ditempah sekumpulan pelajar lain pada Selasa malam dan UKM tiada rekod mengenai program terbabit.
Katanya, penganjur semua program perlu membuat pendaftaran mudah bagi memudahcara program serta memastikan tempat dan kemudahan bersesuaian disediakan.
Susulan itu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik pada Rabu dilaporkan menegur Azlan supaya tidak menutup ruang intelektual di universiti dan tidak timbul soal mengemukakan permohonan kepada pihak universiti.
Sementara itu, ketika ditanya jika penganjur sudah membuat permohonan dengan pihak UKM, Azan yang merupakan sekretariat Diskopi dan Kawah Buku tidak menjawab soalan secara langsung.
“Soalnya bukan pada prosedur rumit atau tidak rumit. Soalnya adalah kebebasan ruang intelektual yang harus diraikan. Universiti adalah ruang awam untuk warganya berkarya dan berwacana.
“Apabila kita berkumpul untuk berbincang idea, takkan perlu WhatsApp pada naib cancelor juga?”
Azan membidas pentadbir UKM tidak berani berdepan kebebasan bersuara dalam era Malaysia Baharu kerana masih menetapkan syarat untuk membuat permohonan bagi program berskala kecil.