
“Saya terima dan sudah tentu saya nasihatkan untuk masa akan datang, utamakan yang perlu. Kita ‘move on’, dia sudah perjelaskan dengan teliti.
“Kebimbangan saya ialah jika menteri kita sendiri memberi alasan seperti ini, maka tiada orang yang akan datang ke kongres itu,” katanya selepas menyampaikan Syarahan Za’ba bertajuk “Melayu dan Islam Dalam Era Malaysia Baharu” di Universiti Malaya hari ini.
Baru yang juga menteri kerja raya sebelum ini memberitahu FMT, beliau tidak dapat menghadiri Kongres Nasional PKR ke-13 di Shah Alam hujung minggu lalu kerana ada tugas kementerian yang perlu dilakukannya.
Beliau berkata, setiausaha politiknya sudah memaklumkan sekretariat Kongres Nasional PKR terlebih dahulu yang beliau tidak dapat hadir.
Bagaimanapun, Anwar dalam ucapannya Ahad lalu berkata, parti itu hanya membenarkan 2 menteri tidak menghadiri kongres itu kerana ada tugas yang perlu dilakukan mereka.
Ketika itu, katanya, Baru tidak memberi sebarang penjelasan berhubung ketidakhadirannya.
Hari ini, Anwar turut menyentuhkan kebimbangan disuarakan sesetengah pihak dalam PKR Sarawak yang ia bukan prerogatif presiden parti untuk memilih pengerusi negeri kerana negeri ada autonomi berhubung isu itu.
“Ikut perlembagaanlah. Saya ingat benda ini tak bangkit pun, hanya dibangkit oleh media, satu dua orang biasalah,” katanya tanpa memberi butiran lanjut.
Ketua Penerangan PKR Sarawak, Vernon Kedit dilaporkan berkata, Sarawak dan Sabah mempunyai prerogatif memilih pengerusi negeri sendiri, tidak seperti negeri lain di mana presiden, dalam kes ini Anwar, melantik pemimpin parti negeri.
Baru sebelum ini berkata, beliau tidak mempertahankan jawatan lamanya, tetapi memberi ruang kepada pemimpin lain untuk menerajui PKR Sarawak.
Katanya, ini juga sebab beliau tidak bertanding jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.