
Beliau berkata, mekanisme tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat bagi membolehkan orang awam membiasakan diri dengannya kerana hanya sebahagian yang layak menerima sunsidi itu, sementara yang lain tidak.
“Kita faham harga minyak sensitif terhadap indeks harga pengguna. Kita mahu pengguna bersedia, oleh sebab itu kita akan memberikannya secara berperingkat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Azrina Surip (PH-Merbok) bertanya kementerian mengenai hasil pertemuan dengan orang awam berhubung subsidi bersasaran itu.
Sementara itu, Ahmad Maslan (BN-Pontian) pula bertanya tentang jumlah keseluruhan subsidi RON95 yang terlibat sebelum mekanisme baru dilaksanankan. Beliau juga bertanya jika subsidi berkenaan turut diberikan kepada nelayan dan mereka yang menggunakan penjana elektrik di Sabah dan Sarawak.
Saifuddin berkata, rakyat Malaysia menggunakan 1.2 bilion liter petrol setiap bulan, dan 90% daripadanya ialah RON95.
“Untuk tujuan pengiraan, darab 90% daripada 1.2 bilion liter dengan mekanisme harga automatik.
“Ketika belanjawan kerajaan persekutuan diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, harga minyak ialah AS$80 setong, sekarang harganya AS$64,” katanya, dan menambah kerajaan akan menimbangkan hal itu.
Saifuddin juga berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan orang awam, Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan, syarikat minyak, operator stesen minyak dan NGO bagi mencari jalan bagaimana untuk melaksanakan mekanisme harga minyak tersebut.
Di bawah Belanjawan 2019, pemandu dengan kenderaan berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal dengan kapasiti enjin 125cc dan ke bawah bakal menikmati petrol RON95 pada harga lebih rendah.
Pemandu yang layak akan menerima subsidi sehingga 100 liter sebulan bagi kereta dan 40 liter untuk motosikal.