
Wakil gabungan itu, Amirul Syafiq Che Ajizi berkata, isu berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) antara sebab mereka menolaknya.
“Kami daripada mahasiswa Malaysia 2018 menolak beberapa perkara berkaitan dengan mahasiswa, antaranya gaji minimum RM1,100 yang perlu dikaji semula, bantuan sara hidup golongan bujang terhapus, keistimewaan graduan kelas pertama juga terhapus dan penghapusan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia memberi kesan kepada mahasiswa.
“Selain itu, peruntukan skim latihan untuk graduan tidak menyeluruh, Rang Undang-undang Perbekalan 2019 menekan mahasiswa, tiada mekanisma baharu untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, polisi baharu pembayaran balik pinjaman PTPTN dengan gaji minimum RM1,100 tidak relevan dan tiada lagi potongan istimewa bayaran kepada pembayar pinjaman PTPTN yang konsisten,” katanya di lobi Parlimen.
Beliau berkata, resolusi Gabungan Mahasiswa 2018 diserahkan kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik di Parlimen pagi tadi.
“Menteri kata akan semak dan teliti beberapa perkara,” katanya.
Amirul berkata Gabungan Mahasiswa 2018 itu diwakili beberapa NGO.
“Dalam 200 hingga 300 orang (di belakang gerakan)…kita dapat responden daripada lebih 1,000,” katanya.
Gabungan Mahasiswa Malaysia 2018 yang terdiri daripada 3 persatuan, iaitu Mantap, Gabungan Mahasiwa Malaysia (Gamis) dan Mahasiswa Nasional (MN) menolak Belanjawan 2019.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima resolusi itu bagi pihak Ahli Parlimen pembangkang.
Ismail berkata, beliau sudah membangkitkan mengenai perkara itu pada perbahasan di peringkat dasar dan minggu depan akan bangkitkan dalam peringkat jawatankuasa.
“Saya harap perkara berkaitan pinjaman PTPTN masuk dalam bajet tambahan.
“Setakat ini tiada lagi, tapi kerajaan bersetuju untuk masukkan beberapa yang tertinggal ke dalam bajet tambahan. Jadi harap ini pun dapat masuk dalam bajet tambahan,” katanya.
Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menggulung RUU Perbekalan 2019 peringkat dasar.