
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, Datuk Jeffrey Kitingan memberitahu FMT, adalah ironis apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Malaysia tidak mungkin wujud tanpa Sabah dan Sarawak, tetapi pada waktu sama tidak memberikan kepada 2 negeri itu hak mereka dalam Belanjawan 2019.
“Kenapa anda perlu terus menyimpan, melesapkan dan menggunakan secara salah 40% daripada hasil bersih yang diperolehi kerajaan persekutuan dari Sabah? Malaya dan rakyat Malaysia di Malaya menikmati 40% hasil milik rakyat Sabah ini sejak 1974, dengan membelakangkan kepentingan anak negeri di sini.
“Kita tidak meminta Putrajaya memberikan wang kepada Sabah secara membabi buta, tetapi memintanya hanya membelanjakan 60% yang dikutip dari negeri ini, sekali gus mengembalikan 40% kepada Sabah. Jangan belanjakan apa yang bukan milik anda. Ia merupakan satu rompakan terang-terangan,” katanya.
Jeffrey berkata, kerajaan pusat juga perlu meneliti semula dakwaan yang dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking bahawa ia berhutang dengan Sabah sebanyak RM1 trilion wang tunggakan hasil 40% itu.
Ahli Parlimen Keningau itu berkata, walaupun beliau memahami kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa manifesto PH bukan kitab Injil, namun kerajaan persekutuan perlu sedar betapa tertinggalnya Sabah dan Sarawak berbanding semenanjung.
Janji untuk mengembalikan 50% daripada hasil bersih yang dikutip dari 2 negeri itu merupakan salah satu daripada janji penting digunakan oleh PH dalam kempen pilihan rayanya, kata beliau, dan menambah ia mesti ditunaikan.
Katanya, kegagalan berbuat demikian hanya akan membuktikan tiadanya perbezaan antara cara PH melayan Sabah dan Sarawak dengan cara bagaimana BN mengeksploitasi sumber 2 negeri itu “dengan rakus” dan melayan mereka “seperti koloni” untuk kepentingan Malaya.
“Ini terbukti daripada peruntukan sebanyak RM5 bilion yng bakal diterima Sabah daripada RM54.7 bilion peruntukan pembangunan kerajaan persekutuan, iaitu hanya 9.16%, sementara Sarawak mendapat lebih sedikit, sebanyak 7.95%. Dalam pada itu, Malaya, yang jauh lebih maju mendapat 82.89%.
“Dengan jurang dana yang sangat besar ini, bagaimanakah Sabah dan Sarawak dapat mengejar dan menyamai Malaya dari segi pembangunan?
“Jika kerajaan jujur mahu membangunkan Sabah dan Sarawak, kita sepatutnya mendapat sekurang-kurangnya masing-masing 40% untuk Sabah dan Sarawak, sementara Malaya memperoleh 20%. Malah, sekiranya kesemua 100% di peruntukkan kepada 2 negeri itu, kita akan mengambil masa beberapa dekad untuk mencapai tahap pembangunan di Malaya.”
Kata beliau, soalan yang bermain di kepada rakyat Sabah dan mungkin juga Sarawak ialah sama ada kerajaan persekutuan kini jujur untuk membangunkan 2 negeri itu supaya setaraf dengan Malaya.
Tambahnya, jika tidak ada langkah diambil bagi mengatasi masalah itu, rakyat Sabah dan Sarawak akan terus berasa dipinggirkan.
“Pada masa ini pun, gerakan untuk membawa Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia semakin kuat dan suara mereka semakin lantang. Ini kenyataannya dan kerajaan pusat tidak boleh mengabaikannya lagi.”