Kisah ‘cinta’ pemuda pada kanak-kanak tanpa kerakyatan

Kisah ‘cinta’ pemuda pada kanak-kanak tanpa kerakyatan

Mukmin Nantang merupakan guru besar sekolah alternatif di Semporna yang dibina khas untuk kanak-kanak yang tidak berpeluang untuk ke sekolah secara formal dan sah.

Mukmin Nantang (berdiri) sedang mengajar murid-murid di TFTN, Semporna.
PETALING JAYA:
Ketika anak muda lain berusaha mencari kehidupan, seorang pemuda berusia 24 tahun ini membina kehidupan buat kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah.

Graduan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Mukmin Nantang merupakan guru besar sekolah alternatif di Semporna yang dibina khas untuk kanak-kanak yang tidak berpeluang untuk ke sekolah secara formal dan sah.

Mukmin berkata, sekolah Teach For The Needs (TFTN) itu dibina sebagai satu bentuk pembelaan kepada setiap insan yang hidup untuk mendapatkan pendidikan sebagai asas kehidupan.

Murid-murid TFTN mendengar ucapan Mukmin Nantang ketika majlis perhimpunan harian sekolah TFTN.

“Pendidikan adalah hak setiap manusia. Saya tidak boleh menerima wujud anak-anak yang dinafikan hak untuk ke sekolah dan sebagainya.

“Mereka perlu diberikan pendidikan agar mereka mampu membina sahsiah diri dan membentuk personaliti,” katanya kepada FMT.

Apabila ditanya tentang permulaan beliau menjadi aktivis pendidikan, katanya, segalanya bermula sejak beliau menuntut di universiti.

“Semuanya bermula sekitar tahun 2015 semasa saya sedang aktif dengan aktiviti sosial di UMS. Saya terlibat sebagai aktivis pendidikan kerana merasakan pendidikan sebagai medium atau ruang untuk membela sesuatu yang tidak adil,” katanya.

Mukmin menambah, sekolah TFTN bukan sahaja terletak di Semporna bahkan juga beberapa lokasi lain di sekitarnya.

“Sekolah alternatif ni saya sudah bangunkan dari tahun 2015 bersama rakan-rakan aktivis lain. Dahulunya di Tawau, Kota Kinabalu dan Tuaran.

“Sekarang di Semporna. Lokasi ini antara tempat yang mempunyai masalah sosial dan ekonomi paling tinggi di Sabah.

“Kami ada 37 orang murid dan 2 orang guru tetap, salah seorangnya saya sendiri dan seorang lagi adalah penduduk di sini,” katanya.

Meskipun memiliki Ijazah Sarjana Muda Seni Kreatif dan pernah ditawarkan dengan pekerjaan yang lebih stabil, Mukmin tetap memilih untuk mendidik murid-muridnya di sekolah alternatif itu.

“Ya, saya miliki ijazah dan boleh kerja makan gaji tetapi saya di sini sebagai guru demi anak-anak negeri ini. Saya percaya guru adalah alat perubahan bangsa.

“Tentang saya tidak penting, yang penting anak-anak yang cergas dan pintar ini akhirnya akan memberikan sumbangan di kemudian hari. Merekalah yang akan mengubah nasib dan membela komuniti mereka sendiri,” katanya.

Jelas Mukmin, sekolah alternatif yang diselianya menawarkan pendidikan asas seperti mengeja, mengira, menulis dan membaca secara percuma.

“Sesiapa pun boleh mendaftar kecuali yang sudah berdaftar di sekolah formal. Semuanya percuma, alat tulis, bangunan sekolah dan makanan. Kami tidak meminta bayaran apa pun, walaupun 1 sen,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.