
Bercakap kepada FMT, Presiden Hindu Sangam RS Mohan Shan berkata ia terlibat dalam pertikaian ke atas kuil Sri Maha Mariamman itu lebih 20 tahun, melibatkan semua pihak yang terbabit dalam tempoh tersebut.

“Pada awalnya, kami mahu kuil itu kekal di mana ia berada sekarang, tetapi selepas perkara itu dibawa ke mahkamah dan keputusan penghakiman dicapai, kami setuju dengan penempatan semula.
“Ini kerana dalam keputusan penghakiman, pemaju, One City Development Sdn Bhd, akan menyediakan tempat yang sesuai untuk kuil itu dipindahkan dan pampasan yang adil. Tapak kuil baru juga akan diwartakan sebagai tempat ibadat. Kami rasa ini adil.”
Pemindahan kuil itu adalah sebahagian penyelesaian “menang-menang” di mahkamah pada 2014 melibatkan One City, kerajaan negeri Selangor dan 2 pihak yang mengaku sebagai pengurusan kuil, K Chellappa dan M Nagaraju.
Chellappa dan Nagaraju, yang terlibat dalam saman berasingan terhadap kawalan pengurusan kuil, bersetuju menyerahkan tanah itu kepada One City selepas pemaju bersetuju menyumbangkan RM1.5 juta untuk pembinaan kuil baru di salah 1 daripada 2 lot tanah yang diberikan syarikat tersebut.
Chellappa dinamakan sebagai pengurus kuil yang sah, namun Nagaraju enggan mematuhi keputusan penghakiman untuk berpindah.
Selepas kuil itu menyerahkan hak untuk salah 1 daripada 2 lot tanah tersebut, One City memberikan pampasan RM1 juta lagi.
Kini, beberapa NGO dan MIC mahu kerajaan campur tangan dan menghentikan penempatan semula. Bantahan di luar Parlimen akan diadakan hari ini berhubung perkara itu.
Mohan Shan berkata memandangkan Hindu Sangam prihatin, ia tidak peduli pada agenda peribadi tetapi menyokong penempatan semula kerana percaya ia adalah perkara terbaik untuk dilakukan.
Beliau menambah Hindu Sangam, yang merupakan ahli Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikhisme dan Taoisme, juga meminta pemaju membenarkan pemindahan kuil itu dilakukan mengikut ritual Hindu yang telah dipersetujui.
“Dalam banyak kes penempatan semula kuil, pemaju atau pihak berkuasa hanya akan menghancurkan kuil-kuil dan hanya membuang dewa-dewa.
“Ini adalah cara yang betul untuk mengendalikan penempatan semula kuil. Ini satu contoh yang baik kerana pihak yang berkenaan menyelesaikan perkara itu dengan baik.”
Mohan Shan menambah hanya “seksyen” penganut yang menentang penempatan semula, tetapi mengatakan adalah hak mereka untuk membantah di hadapan Parlimen.
“Tidak ada mudaratnya mereka memprotes, tetapi kami percaya lebih baik menyelesaikan perkara itu dengan aman. Dalam kes ini, semua usaha dilakukan untuk pemindahan. Memandangkan kita prihatin, inilah cara untuk maju ke hadapan.”