Azmin: Jual aset Felda mungkin tak bawa pulangan setimpal

Azmin: Jual aset Felda mungkin tak bawa pulangan setimpal

Ini kerana, kata menteri hal ehwal ekonomi itu, kebanyakan aset Felda itu dibeli dengan harga tinggi.

KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bimbang penjualan aset Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang kebanyakannya dibeli dengan harga tinggi, tidak memberi pulangan setimpal kepada kerajaan.

“Aset-aset itu dibeli dengan harga yang tinggi, kalau jual pun tidak boleh bawa pulangan yang sama,” katanya di lobi Parlimen hari ini ketika ditanya sama ada kerajaan bersedia menjual aset dimiliki Felda sekarang.

Azmin berkata, kementeriannya dalam fasa terakhir meneliti penyediaan kertas putih Felda sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Ya, kita sedang dalam fasa terakhir dan akan dibentangkan dalam sesi ini juga,” katanya.

Pada 9 Ogos lalu, Azmin dilaporkan berkata, kerajaan akan mendedahkan situasi sebenar Felda dan perancangan strategik pemulihan agensi itu melalui pembentangan kertas putih dalam sidang Dewan Rakyat kali ini.

Katanya, Felda kini menghadapi masalah aliran tunai yang amat kritikal disebabkan pengurusan kewangan lemah oleh kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, Felda akan menjual aset bukan strategik di Sabah, Sarawak dan London yang dijangka menyumbang RM2.2 bilion, menerusi pelan pemulihan untuk mengurangkan beban hutangnya.

“Tumpuan segera lembaga pengarah dan pengurusan Felda baru adalah untuk memulihkan kedudukan aliran tunai Felda melalui perbincangan dengan pemiutang atau menstrukturkan semula pinjaman Felda yang sudah mencecah keseluruhannya RM8.025 bilion.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.