Najib dakwa harga saham 20 GLC jatuh sejak PH berkuasa

Najib dakwa harga saham 20 GLC jatuh sejak PH berkuasa

Bekas perdana menteri itu berkata, keyakinan pelabur terhakis akibat langkah tidak bijak kerajaan PH dan ekonomi semakin merosot selepas PRU14.

Najib Razak memuat naik senarai perbezaan harga saham 20 GLC antara 2 Januari lalu dan semalam yang menunjukkan penyusutan antara 2 hingga 63%.
PETALING JAYA:
Datuk Seri Najib Razak mendakwa harga saham 20 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyusut antara 2 hingga 63%, sejak Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara selepas memenangi pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Bekas perdana menteri itu mendakwa keyakinan pelabur terhakis akibat langkah tidak bijak kerajaan PH dan ekonomi semakin merosot selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Pelabur asing sudah menambah pelaburan mereka di dalam Bursa Malaysia sebelum PRU14, tetapi tarik keluar pelaburan mereka hampir setiap bulan.

“Pengaliran masuk tiba-tiba berubah kepada pengaliran keluar. Sebanyak RM14.2 bilion dana pelaburan asing sudah keluar dari Bursa Malaysia sejak Mei sehingga kini.

“Indeks Bursa Malaysia juga jatuh sebanyak 200 mata berbanding bulan sebelum PRU14,” katanya di Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa harga saham paling terjejas kebanyakannya ialah GLC.

Katanya, keadaan itu membimbangkan kerana pemegang saham terbesar GLC ialah tabung simpanan rakyat serta kerajaan, seperti Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Lembaga Tabung Haji.

“Berdasarkan jumlah saham yang dipegang mereka, kejatuhan harga saham Telekom Malaysia sahaja menyebabkan Khazanah rugi RM3.9 bilion, KWSP rugi RM2.5 bilion dan ASB (Amanah Saham Bumiputera) rugi RM1.8 bilion berbanding sebelum PRU14.

“Saya perhatikan juga kebanyakan harga unit amanah (unit trust) yang diurus pelbagai institusi kewangan swasta dan kerajaan telah jatuh. Ada yang jatuh 5% dan ada yang jatuh sebanyak 25% berbanding permulaan tahun ini.

“Satu contoh ialah nilai satu unit ASN (Amanah Saham Nasional) yang diurus oleh PNB. Harganya jatuh 13% daripada 0.785 sen kepada 0.68 sen hari ini.”

Najib berkata, kejatuhan harga saham GLC ialah petanda dividen ASB, KWSP, LTAT dan Tabung Haji tahun ini mungkin lebih rendah berbanding tahun lepas.

“Sudah tentu dividen KWSP untuk tahun ini akan jauh lebih rendah daripada kadar 6.9% yang diberi tahun lepas, iaitu kadar tertinggi selama 20 tahun.

“Harga minyak dan kos sara hidup tak turun, tetapi harga saham dan nilai simpanan rakyat yang turun?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.