
Bekas perdana menteri itu mempertikaikan mengapa masih ada rungutan menteri Kabinet dan ahli Parlimen PH, jika apa yang dikatakan menteri kewangan itu benar.
“Jika benar, kenapa pula Menteri Industri Utama, Teresa Kok keluarkan kenyataan pada 2 November lalu bahawa peruntukan untuk kementeriannya dipotong sehingga 50.7%.
“Buat apa pula Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) sebak di Dewan Rakyat pada 12 November kerana kesal dengan pemotongan pelbagai subsidi untuk petani dan pekebun dalam Bajet 2019,” tulisnya di Facebook hari ini.
Najib turut mempertikaikan penafian Lim yang peruntukan Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak dipotong 50%, sebaliknya dikekalkan RM3.7 bilion bagi tahun depan.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, peruntukan biasiswa Mara sebanyak RM2 bilion yang diklasifikasikan semula seperti dinyatakan Lim, sebenarnya berkurangan RM500 juta kerana kerajaan terdahulu pimpinannya menyediakan RM2.5 bilion bagi tujuan itu pada tahun ini.
“Lebih melucukan lagi ialah bila dia kata peruntukan untuk Felda telah ditambah dan bukan dipotong serta memberi contoh dana untuk membaiki dan membina jalan raya dan peningkatan bekalan air telah dinaikkan kepada RM260 juta bagi 2019.”
Beliau berkata, Barisan Nasional dalam Bajet 2018 menyediakan RM60 juta untuk program tanaman semula sawit Felda, RM164 juta membina 5,000 unit Rumah Generasi Kedua Felda dan insentif khas RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka Felda di seluruh negara yang berjumlah RM474.78 juta.
“Ini semua telah hilang di dalam Belanjawan 2019 pada ketika harga sawit dan getah sangat rendah, di mana bantuan patut dinaikkan dan bukan diturunkan atau dimansuhkan.
“Jumlah bayaran BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) yang kebanyakan diberi kepada masyarakat luar bandar pun sudah dikurangkan atau dimansuhkan. Masih mahu nafi?
“Oh ya, manifesto PRU14 (pilihan raya umum ke-14) juga ditulis secara hitam putih, tetapi masih boleh terus berbohong dan berdolak dalik.”