Guan Eng: Peruntukan Mara tak dipotong, tapi kekal RM3.7 bilion

Guan Eng: Peruntukan Mara tak dipotong, tapi kekal RM3.7 bilion

Menteri kewangan berkata, peruntukan RM2 bilion bagi perbelanjaan biasiswa dan pinjaman pendidikan Mara dipindah klasifikasi daripada perbelanjaan mengurus kepada perbelanjaan pembangunan.

Lim Guan Eng berkata, peruntukan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dinaikkan daripada RM90 juta kepada RM210 juta, manakala pembangunan Felda dinaikkan daripada RM160 juta kepada RM260 juta tahun depan.
PETALING JAYA:
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menafikan dakwaan peruntukan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dikurangkan separuh dalam Bajet 2019.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan menyediakan RM1.3 bilion sebagai perbelanjaan mengurus Mara pada 2019, manakala RM2 bilion bagi perbelanjaan biasiswa dan pinjaman pendidikan Mara dipindah klasifikasi daripada perbelanjaan mengurus kepada perbelanjaan pembangunan.

“Ia memandangkan perbelanjaan tersebut dalam membangunkan modal insan Bumiputera merupakan pelaburan jangka panjang untuk pembangunan negara.

“Hakikatnya, jumlah peruntukan perbelanjaan mengurus dan pembangunan Mara kekal di tahap RM3.7 bilion pada 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim turut membidas pihak yang sengaja mengelirukan keadaan dengan membandingkan peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebanyak RM9.5 bilion pada 2018 dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebanyak RM8.4 bilion untuk 2019.

Katanya, KKLW dijenamakan semula sebagai KPLB kerana beberapa agensi, termasuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dipindahkan ke kementerian lain.

Beliau berkata, peruntukan bagi agensi lain di bawah KPLB pula dinaikkan.

“Sebagai contoh, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Peneraju) disediakan peruntukan RM90 juta pada 2018 ditingkatkan kepada RM210 juta untuk 2019 bagi membiayai program meningkatkan kemahiran belia Bumiputera, terutamanya daripada isi rumah berpendapatan rendah.

“Program Peneraju untuk 2019, termasuk melahirkan lebih ramai profesional di kalangan huffaz.

“Di samping itu, peruntukan pembangunan Felda juga dinaikkan daripada RM160 juta dalam 2018 kepada RM260 juta untuk 2019 bagi membiayai projek menaik taraf jalan dan penyediaan bekalan air di penempatan Felda.”

Sementara itu, Lim berkata, kerajaan akan melaksanakan dasar perolehan melalui sistem tender terbuka yang membawa penjimatan besar, mengurangkan kos perbelanjaan, hutang kerajaan persekutuan dan defisit fiskal.

Katanya, ia juga dapat mengelakkan hanya kroni Bumiputera tertentu mendapat tender kerajaan dan kontraktor tidak perlu mendapatkan tandatangan ketua bahagian.

“Garis panduan Kementerian Kewangan adalah supaya kementerian dan agensi kerajaan memastikan sekurang-kurangnya 30% daripada nilai kerja dalam setahun, ditender hanya di kalangan kontraktor Bumiputera.

“Amalan perolehan pentadbiran terdahulu untuk menganugerahkan projek mega secara runding terus dan tender terhad melibatkan kos tinggi dan penyelewengan kewangan yang membebankan kewangan negara dan merugikan rakyat.

“Kerajaan akan memastikan proses perolehan yang bersifat ketelusan, persaingan terbuka serta kos yang berpatutan. Prinsip tender terbuka tidak bertentangan dengan agenda pembangunan usahawan Bumiputera.”

Dalam pada itu, Lim berkata, kerajaan akan melaksanakan bantuan subsidi bersasar bagi petani, pesawah, pekebun kecil dan nelayan yang layak untuk membendung masalah ketirisan serta penyalahgunaan atau penyelewengan subsidi.

“Pendekatan subsidi tersasar sekarang membazirkan ratusan juta ringgit kerana memanfaatkan mereka yang tidak layak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.