Reman ‘Boy Tiger’ dera anak tiri hingga mati dilanjut 7 hari

Reman ‘Boy Tiger’ dera anak tiri hingga mati dilanjut 7 hari

Mahkamah turut mengeluarkan perintah sambung reman 3 hari terhadap isteri 'Boy Tiger' yang berumur 20 tahun bagi membantu siasatan kes dera anak lelakinya.

‘Boy Tiger’ (dua dari kiri) dituduh mendera sehingga menyebabkan kematian anak tirinya yang berusia 3 tahun. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Majistret Ampang hari ini melanjutkan tempoh reman 7 hari lagi ke atas seorang lelaki dikenali sebagai “Boy Tiger” bermula esok berhubung kes dera sehingga menyebabkan kematian anak tirinya yang berusia 3 tahun pada 8 Nov lepas.

Perintah reman sehingga 26 Nov itu dikeluarkan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali terhadap suspek berusia 31 tahun tersebut selepas tempoh reman terhadapnya tamat hari ini.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah sambung reman selama 3 hari lagi bermula esok terhadap isterinya yang berumur 20 tahun bagi membantu siasatan kes dera anak lelakinya itu.

Pasangan suami isteri itu ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada 12 Nov lepas, lelaki itu ditahan di Hospital Kajang ketika melawat isterinya yang sedang mendapatkan rawatan selepas melahirkan anak di hospital berkenaan.

Sebelum itu, mangsa dipercayai dibawa oleh ibu kandung dan bapa tirinya ke Jabatan Kecemasan hospital berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 12 tengah hari, 8 Nov lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.