
Harga minyak mentah kini berada pada paras AS$66 setong, berbanding AS$81 pada 16 Okt.
Laurence Todd dari Institut Demokrasi dan Hal-ehwal Ekonomi (Ideas) berkata, Belanjawan 2019 tidak melibatkan “pengorbanan besar”, tetapi memberitahu FMT bahawa pengorbanan sedemikian akan diperlukan jika kerajaan mahu mengurangkan pergantungannya pada hasil minyak.
Beliau mendesak Putrajaya supaya menggariskan rancangan yang jelas bagi mengurangkan kos dan pergantungan pada minyak untuk tempoh 3 tahun akan datang.
Beliau mencadangkan peralihan pantas kepada persaingan “yang benar-benar terbuka” bagi perolehan kontrak dengan berkata, ia akan mengurangkan kos tersembunyi.
Todd juga menggesa dijalankan “kajian semula lebih berani” ke atas subsidi dan hanya mengekalkan subsidi yang mampu membuahkan manfaat ekonomi jangka panjang.
Berhubung cadangan kerajaan mahu menjual asetnya, beliau mencadangkan “disiplin yang ketat” dan takrif yang jelas tentang apakah yang dikatakan aset bukan-strategik. “Adakah kerajaan perlu memiliki hotel, misalnya?”
Beliau juga mencadangkan satu skim persaraan awal untuk pegawai awam bagi mengurangkan kos, selain komitmen untuk mengatasi masalah bocoran hasil dan ekonomi gelap.
Dalam pada itu, Tan Sri Ramon Navaratnam, pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Strategi dan Kepimpinan Asia memberitahu FMT, beliau percaya langkah luar jangka seperti memotong program operasi dan projek pembangunan kurang penting perlu disediakan bagi menghalang berlakunya masalah pada masa depan.
Katanya, tidak ada cara untuk menjangka ke takat mana harga minyak akan jatuh, tetapi mengingatkan supaya kerajaan tidak “panik” kerana ekonomi sentiasa berupaya untuk berjalan terus walaupun berhadapan dengan turun naik harga bijih timah, getah, minyak kelapa sawit dan juga minyak.
Beliau sebaliknya mencadangkan diperuntukkan insentif kepada sektor swasta supaya syarikat perniagaan boleh membantu meningkatkan ekonomi. “Bekerjasamalah dengan syarikat perniagaan, bukan menentang mereka,” kata beliau.
Beliau juga bercakap tentang sektor selain minyak dan gas yang boleh dikembangkan bagi mengurangkan pergantungan pada 2 komoditi itu, dengan menyebut sektor pelancongan dan pertanian sebagai contoh.
“Biar sektor swasta mengambil risiko dan menggerakkan ekonomi, bukan kerajaan,” katanya.
Beliau sekali lagi mengulangi gesaannya sebelum ini supaya kerajaan mematuhi governans baik dan meningkatkan rizab negara sebagai perlindungan daripada turun naik harga pasaran.