Air mata Wan Azizah ‘gugur’ sampaikan amanat terakhir sebagai presiden PKR

Air mata Wan Azizah ‘gugur’ sampaikan amanat terakhir sebagai presiden PKR

PKR lahir daripada perjuangan dan keringat serta air mata rakyat di jalan raya.

Wan Azizah berkata, asas perjuangan PKR ialah menegakkan hak dan menentang yang batil, bukan kerana manusia, pangkat atau harta.
SHAH ALAM:
Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ‘sebak’ dan menitiskan air mata ketika menyampaikan amanat terakhir beliau sebagai presiden PKR.

Dalam ucapannya itu, Wan Azizah mengingatkan ahli PKR supaya menggenggam kuat idealisme dan agenda reformasi, sekali gus meminta ia diteruskan dan dimantapkan.

“Jangan lupa kita adalah parti reformasi dan kita adalah reformis. Kita berjuang membela yang hak dan menentang yang batil.

“Kita tentang kemungkaran dan kita mengajak kepada kebaikan. Kita lawan kezaliman dan kita tegakkan keadilan, kita bela mereka yang lemah dan kita santuni mereka yang gagah,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Kongres Nasional PKR ke-13 di Ideal Convention Center Sdn Bhd (IDCC) di sini, hari ini.

Wan Azizah juga mengingatkan ahli bahawa PKR lahir daripada perjuangan dan keringat serta air mata rakyat di jalan raya.

Katanya, PKR bukan lahir dengan hamparan permaidani yang indah.

“Tiada tokoh besar menyertai kita pada era awal perjuangan reformasi, namun kita tetap gagah berjuang kerana kuatnya keyakinan pada agenda perjuangan.

“Oleh itu janganlah meremehkan agenda reformasi. Perjuangan tanpa idealisme akan hancur dan musnah akhirnya,” katanya.

Wan Azizah berkata asas perjuangan PKR ialah menegakkan yang hak dan menentang yang batil, bukan kerana manusia, pangkat atau harta.

“Saya inginkan setiap daripada kita supaya mengakhiri kehidupan masing-masing dengan kebaikan. Ingatlah ada mata yang memerhati setiap tingkah dan laku kita, dalam gelap dan terang.

“Pemimpin yang baik adalah yang paling takutkan sumpahan rakyat dan bencikan maksiat,” katanya.

Hargai para reformis

Wan Azizah berkata, PKR perlu mengiktiraf dan menghargai para reformis yang berjuang sejak 1998.

Beliau berkata, pelbagai pengorbanan telah diberikan oleh kelompok itu sehinggakan ada yang hilang pekerjaan, malah jatuh bangkrap akibat gagal membayar hutang kerana membiayai perjuangan.

“Mereka cedera dipukul, dihina, dicaci, disiksa di dalam lokap, dipenjara dan menghadapi pelbagai penderitaan lain, namun mereka tegar berdiri menyatakan yang hak kepada pemimpin yang rakus dan zalim.

“Ramai juga yang telah pergi meninggalkan kita. Pangkat, kuasa dan harta jangan sampai mengaburi asas perjuangan dan dasar parti,” katanya.

Beliau berkata, kuasa, pangkat dan kedudukan adalah ujian untuk pimpinan PKR yang berada di peringkat tertinggi parti itu.

Katanya, kekuasaan dan kedudukan yang mereka miliki kini adalah hasil perjuangan ahli di bawah dan parti, bukannya kerana kekuatan seorang atau 2 individu.

“Tanpa mereka, tuan-tuan dan puan-puan di hadapan ini, siapalah kita yang di atas ini?,” katanya.

Wan Azizah juga mengingatkan supaya pimpinan yang kalah dalam pemilihan PKR baru lepas tidak disisihkan.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan berharap pimpinan yang baru dipilih memberi penekanan kepada aspek tarbiyyah, disiplin dan pendidikan politik.

“Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum jua. Inilah keluarga besar kita. Keluarga PKR adalah unik kerana orang Cina, India, Melayu, Kadazan, Iban dan semua kaum ada bersama di dalamnya,” kata beliau.

Seramai 2,735 perwakilan menyertai kongres berkenaan yang bermula semalam dengan kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang baru-baru ini dipilih menjadi wakil rakyat selepas menang kerusi Parlimen Port Dickson dalam pertandingan 7 penjuru, dijadualkan menyampaikan ucapan penangguhan presiden baru pada sebelah petang sebelum persidangan ditangguhkan.

Anwar memenangi jawatan presiden PKR tanpa bertanding dalam pemilihan yang diadakan sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.