
Ketua Pengarahnya Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, buat masa ini GIACC sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meneliti draf undang-undang itu untuk dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dibentang ke Kabinet dan Dewan Rakyat.
“Kalau kita lihat Seksyen 20 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia ada kesalahan bagi mana-mana penender menarik balik tender semasa masuk tender, tetapi tidak ada kesalahan bagi mereka yang menjual projek.
“Ini bukan sahaja bagi Bumiputera…(tetapi) semua pihak sebenarnya.
“Jadi, GIACC sedang bersama SPRM untuk melihat bagaimana perundangan boleh dilihat bagi sama ada dalam bentuk kesalahan jenayah atau elemen sivil, bagaimana boleh diambil tindakan kepada mereka yang menjual projek kerajaan secara total,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sidang Kemuncak Integriti dan Tadbir Urus Negeri Johor 2018 di sini, semalami.
Abu Kassim berkata, banyak perkara sedang dikaji berhubung undang-undang tersebut termasuk dari segi kesan, perincian definisi, maksud penjualan, konsep dan sebagainya.
Beliau berkata setakat ini, GIACC menerima maklum balas positif berhubung cadangan pelaksanaan undang-undang tersebut, terutamanya daripada mereka yang benar-benar menjalankan kerja dan perniagaan yang tulen.
Katanya, pihaknya tidak mahu mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan ahli politik dan menggunakan kekuatan pengaruh ahli politik diberi sesuatu projek yang dimaksudkan atau lesen tertentu walaupun syarikat itu tidak berkemampuan untuk melaksanakan projek berkaitan.
“Perkara ini dibangkit oleh negara G20, malah negara seperti Indonesia juga sedang melihatnya dengan serius kerana terdapat pemberian lesen yang berbentuk korekan bahan hasil bumi dan juga permit import (AP) tertentu yang sebenarnya di belakangnya bukan seperti mana tercatat dalam dokumen.
“Kita juga mahu mengurangkan penggunaan proksi, kita mahu benar-benar pemilik dan orang yang buat itu (kerja) yang dapat (kontrak),” katanya.