Kemenangan bekas MB Negeri Sembilan di DUN Rantau terbatal

Kemenangan bekas MB Negeri Sembilan di DUN Rantau terbatal

Hakim Mahkamah Khas Pilihan Raya, Azimah Omar mengarahkan pilihan raya kecil diadakan di kerusi DUN Rantau, selepas membenarkan petisyen difailkan calon PKR, Dr Streram Sinnasamy.

SEREMBAN: Mahkamah Khas Pilihan Raya hari ini memutuskan kemenangan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, tidak sah dan terbatal.

Hakim, Datuk Azimah Omar membenarkan petisyen difailkan calon PKR, Dr Streram Sinnasamy untuk mengadakan pilihan raya kecil di kerusi itu.

“Mahkamah memerintahkan satu pilihan raya kecil untuk kawasan DUN Rantau diadakan serta-merta,” katanya.

Azimah berkata, pertandingan akan berlaku di kerusi itu, jika Streram dibenar memfailkan kertas pencalonannya pada 28 April lalu.

Katanya, ada bukti mencukupi menunjukkan Streram, pencadang dan penyokongnya dilarang memasuki pusat penamaan calon.

“Ini adalah satu penindasan,” katanya yang mengarahkan pegawai pengurus pilihan raya, Amino Agos Suyub membayar kos RM30,000 kepada Streram.

Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei lalu untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang kerusi Rantau.

Katanya, beliau tidak dimaklumkan SPR atau ejennya yang mereka perlu mempunyai tag nama atau pas untuk memasuki pusat pencalonan di Dewan Sri Rembau.

Beliau berkata, kira-kira 4.30 petang pada 27 April lalu, rakannya memberitahu beliau untuk mendapatkan pas di pejabat daerah Rembau.

Katanya, beliau tiba di sana pada 6.45 petang, tetapi pejabat sudah ditutup. Seorang kakitangan wanita memberitahunya tag itu boleh diambil di Dewan Sri Rembau keesokannya.

Streram berkata, beliau bersama pencadang dan penyokongnya tiba di pusat pencalonan pada 8 pagi untuk mengambil tag bagi menyerahkan kertas pencalonan sejam kemudian.

Katanya, beliau meminta seorang anggota polis memanggil pegawai SPR di dalam pusat pencalonan untuk memberi tag kepadanya, tetapi tiada pegawai yang tampil.

Beliau berkata, Yusof Tapar, pencadang bagi calon pembangkang di kerusi Parlimen Rembau, dan calon kerusi DUN Paroi, Mohamad Taufek Abdul Ghani, keluar dari pusat pencalonan untuk membantunya. Bagaimanapun, kedua-duanya tidak berjaya.

Kira-kira 9.40 pagi, 2 pegawai SPR keluar menemui Streram dan memberi jaminan mereka akanberusaha menyediakan pas kepadanya. Mereka masuk ke pusat itu, tetapi tidak kembali kepadanya.

Agos kemudiannya mengisytiharkan Mohamad yang juga timbalan presiden Umno menang tanpa bertanding di DUN Rantau. Keputusan itu adalah kemenangan pertama diperolehi Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.

Streram berkata, tiada keperluan undang-undang untuk mengambil pas memasuki pusat pencalonan dan SPR tidak memaklumkan perkara itu kepadanya ketika beliau mengambil borang pencalonan atau membayar deposit.

Katanya, SPR melanggar peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, apabila pegawainya tidak mengarahkan polis membenarkan beliau bersama pencadang dan penyokongnya masuk ke pusat pencalonan.

Katanya, walaupun layak, beliau dinafikan hak dari segi Perlembagaan untuk bertanding dalam PRU14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.