
Institut Demokrasi dan Hal-ehwal Ekonomi (Ideas) berkata, tindakan ini tidak akan membantu memperbaiki kedudukan hutang dan kewangan kewangan negara kerana “Harapan Coin” diwujudkan untuk tujuan politik.
“Tidak ada hubungan langsung antara mata wang kripto dalam memperbaiki kedudukan kewangan negara. “Harapan Coin” juga tidak ada manfaat langsung kepada rakyat memandangkan ia diwujudkan bermotifkan politik,” kata penganalisis ekonomi Ideas, Adli Amirullah kepada FMT.
“Sudah terbukti tidak ada hubungan langsung antara mata wang kripto dalam usaha memperbaiki nilai mata wang negara. Mata wang kripto tidak praktikal dalam pasaran moden dan tidak ada pengesahan nilai secara rasmi.
“Berkemungkinan suatu hari nanti mata wang kripto tidak lagi mempunyai sebarang nilai,” katanya.
Terdahulu, “Harapan Coin” yang dipromosikan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, mendapat perhatian umum, termasuk dalam kalangan pemimpin parti pemerintah.
Semakan di laman web mata wang kripto itu memperlihatkan beberapa keraguan. Laman web yang berlatar belakangkan warna merah itu turut memaparkan wajah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun maklumat mengenai siapakah pengendali “Harapan Coin” tidak dinyatakan dengan jelas dan terperinci. Bahagian yang menunjukkan wajah “pasukan utama” di sebalik mata wang kripto itu juga dikaburkan.
Adli berkata, kerajaan PH perlu menyedari sehingga kini Bank Negara Malaysia (BNM) belum mengiktiraf mata wang kripto sebagai mata wang yang sah.
Ini kerana mata wang kripto tidak dilindungi oleh piawaian atau pengaturan kehematan serta amalan pasaran yang terpakai pada institusi kewangan.
“Memandangkan BNM tidak mengiktiraf mata wang kripto sebagai sah, maka tidak praktikal untuk pengguna dan penjual terlibat dalam proses jual beli menggunakan mata wang itu,” katanya.
Katanya, sehingga kini tidak ada peruntukan khusus dalam perlembagaan persekutuan yang membenarkan rakyat menggunakan mata wang kripto dalam urusan seharian.
“Di Amerika Syarikat, kerajaannya mengambil usaha untuk memperincikan perkara berkaitan mata wang kripto dalam undang-undang mereka.
“Mahkamah Daerah AS di timur Texas pada Ogos 2013 mengeluarkan perintah bahawa mata wang kripto boleh digunakan untuk membeli barangan dan sebagai tukaran mata wang konvensional,” katanya.
Di laman web “Harapan Coin”, Khalid dalam satu rakaman menyebut kutipan mata wang kripto itu akan dibahagikan kepada pembangun skim (30%), Amanah (30%) dan PH (40%).
Sebelum ini, Khalid berkata, beliau akan mencadangkan Harapan Coin, sebagai platform yang menggunakan teknologi mata wang kripto dan “block chain” kepada BNM dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk digunakan dalam urusan kerajaan, seperti membayar denda.
Khalid juga dilaporkan mencadangkan penubuhan satu badan kawal selia bagi memastikan projek itu tidak mudah dimanipulasi oleh orang luar.
Projek itu bagaimanapun diragui, antara lain oleh ahli politik pembangkang dan kerajaan seperti bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.
Pada 27 Februari, BNM mengeluarkan Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembanterasan Pembiayaan Keganasan selepas mengambil kira maklum balas daripada wakil pengurup wang digital, persatuan industri, firma undang-undang, institusi kewangan dan ahli akademik.
“Dasar ini bertujuan memastikan langkah berkesan disediakan terhadap risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan yang berkaitan dengan penggunaan mata wang digital dan untuk meningkatkan ketelusan bagi aktiviti mata wang digital,” kata Khalid.