China siasat hotel mewah didakwa kotor

China siasat hotel mewah didakwa kotor

Beberapa hotel memohon maaf selepas gambar yang dirakamkan di beberapa hotel mewah menunjukkan gelas, sinki, cermin, tuala dan span tidak bersih.

Hotel Shangri-La Fuzhou ialah sebuah daripada hotel terbabit yang merupakan sebahagian daripada rantaian hotel antarabangsa. (Gambar Facebook)
BEIJING:
Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China mengarahkan siasatan dijalankan ke atas beberapa hotel yang didakwa kotor.

Menurut kementerian, pihaknya memandang serius perkara itu dan mengarahkan pihak berkuasa kebudayaan dan pelancongan tempatan di Shanghai, Beijing dan wilayah Fujian, Jiangxi serta Guizhou menjalankan siasatan.

Menurut Xinhua, gambar yang dirakamkan di beberapa hotel mewah menunjukkan gelas, sinki, cermin, tuala dan span tidak bersih, menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Kebanyakan hotel terbabit sebahagian daripada rantaian hotel antarabangsa, antaranya Conrad Beijing, Le Royal Meridien Shanghai, Hotel Shangri-La Fuzhou. Beberapa hotel sudah mengemukakan permohonan maaf.

Pentadbiran Perbandaran Pelancongan Shanghai berkata, siasatan sedang dijalankan dan ia menyokong pihak berkuasa mengenakan tindakan ke atas hotel bertanggungjawab.

Sementara itu, Suruhanjaya Perbandaran Pelancongan Beijing memanggil pengurus 4 hotel untuk mendapatkan penjelasan.

Pihak berkuasa kesihatan bandar mengumpul sampel dari premis hotel untuk diuji dan hasilnya akan diumumkan tidak lama lagi.

Siasatan sama turut dijalankan di Fuzhou dan Guiyang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.