Kerajaan cadang bina parkir bertingkat di PPR

Kerajaan cadang bina parkir bertingkat di PPR

Projek dalam kajian DBKL itu bagi mengatasi masalah kekurangan parkir bagi penghuni kediaman berkenaan.

DBKL akan membina parkir bertingkat secara berperingkat di 5 atau 6 lokasi PPR. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Projek pembinaan parkir bertingkat di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bandaraya ini akan dilaksanakan tidak lama lagi bagi mengatasi masalah kekurangan parkir untuk penghuni kediaman berkenaan.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata pelaksanaan projek itu merupakan antara projek yang dalam kajian pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kita akan lakukan (pembinaan parking bertingkat) secara berperingkat di 5 atau 6 lokasi PPR bagi memastikan setiap penduduk mempunyai ruang parkir masing-masing serta bagi menentukan laluan jalan raya dikosongkan.

“Ini juga penting ketika berlakunya kecemasan supaya pihak polis dan bomba dapat masuk ke kawasan dan memberikan bantuan dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan “The Lost Food Project” di PPR Kerinchi di sini malam tadi.

Sementara itu, mengulas mengenai projek pengagihan stok makanan berlebihan daripada pasaraya kepada penduduk perumahan itu, Khalid berkata ia merupakan usaha yang baik bagi mengelak pembaziran makanan.

“Sayur-sayuran, buah-buahan dan barang makanan lain yang sering dibuang oleh pasaraya kerana tidak sesuai untuk dijual lagi akan dikumpulkan oleh sukarelawan projek ini dan akan diagihkan kepada penduduk PPR.

“Pengagihan makanan di PPR Kerinchi adalah projek kedua selepas ia dilaksanakan di PPR Gombak pada tahun ini. Pada hari ini 6 tan makanan diedarkan kepada 600 keluarga yang berdaftar dalam projek ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.