
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi FMT mengesahkan ahli Parlimen Putrajaya itu ditahan 3.25 petang tadi, selepas tiba di ibu pejabat SPRM.
Katanya, Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan akan didakwa bersama ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, petang esok.
Difahamkan, beliau akan berdepan dakwaan menerima rasuah, tetapi tidak jelas berapa banyak pertuduhan yang akan dikenakan terhadap bendahari agung Umno itu.
Pada 30 Oktober lalu, Ku Nan dilaporkan berkata, SPRM memanggilnya 12 kali bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah DBKL, sejak Pakatan Harapan menjadi kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, selepas dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan mulai 2013, beliau menyerahkan kuasa meluluskan penjualan tanah antara DBKL dan pemaju swasta, kepada Jabatan Perdana Menteri.
Sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan untuk menyiasat transaksi 97 tanah DBKL membabitkan keluasan 273.27 hektar yang bernilai RM5.63 bilion.
Pada 9 Oktober lalu, Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata, 23 daripada 97 transaksi itu dibatalkan, 1 transaksi dibawa ke mahkamah, 43 transaksi tanah diteruskan seperti biasa dan 20 lagi transaksi selesai dipindah milik kepada syarikat diserahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut.
Sebanyak RM149 juta diperolehi menerusi rundingan semula 16 daripada 23 transaksi tanah membabitkan keluasan 104 hektar.