Putrajaya tak ubah suai Bajet 2019 walaupun harga minyak jatuh

Putrajaya tak ubah suai Bajet 2019 walaupun harga minyak jatuh

Menteri kewangan berkata, kerajaan menyediakan Bajet 2019 berdasarkan andaian harga minyak mentah dunia AS$72 setong.

Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan mengkaji kenaikan dan kejatuhan harga minyak mentah dunia yang akan memberi kesan kepada bekalan minyak negara. (Bernama pic)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan tidak akan mengubah suai Bajet 2019 yang dibentangkan awal bulan ini, walaupun harga minyak mentah dunia merosot ketika ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kerajaan menyediakan Bajet 2019 bersandarkan andaian harga minyak mentah dunia AS$72 setong.

Katanya, kerajaan ketika itu menjangkakan harga minyak mentah akan naik kepada AS$85 setong, tetapi kini ia jatuh kepada AS$65 setong.

Beliau berkata, kerajaan sebaliknya akan mengkaji kenaikan dan kejatuhan harga minyak mentah dunia yang akan memberi kesan kepada bekalan minyak negara.

“Kami akan mengkaji secara menyeluruh. Buat masa ini, tiada perubahan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Najib Razak ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 hari ini, bimbang pendekatan Pakatan Harapan merangka Bajet 2019 berdasarkan harga minyak mentah dunia AS$72 setong.

Bekas perdana menteri itu berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini membentangkan belanjawan bersandarkan harga minyak mentah dunia AS$52 setong.

“Saya hendak ingatkan kerajaan, harga minyak mentah dunia sukar dijangka. Sama ada ia naik atau turun, tiada siapa tahu, ini kerana faktor geopolitik tiada siapa boleh jangka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.