
Pengerusinya, Murtini Kasman berkata cadangan pemotongan KWSP dan menyenarai hitam suami yang sengaja tidak membayar nafkah adalah perkara wajar dan amat diperlukan bekas isteri.
“Adalah bijak sekiranya kerajaan melalui jabatan agama menambah dan memperkuatkan lagi usaha dalam memberikan kaunseling dan khidmat nasihat kepada bekas suami.
“Ini kerana, mereka akan lebih memahami tahap bebanan dan kesulitan seorang ibu tunggal dalam meneruskan kehidupan membesarkan anak dari keruntuhan sesebuah institusi kekeluargaan,” katanya ketika dihubungi FMT.
Murtini berkata, peranan penting ini hanya boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan demi membantu dan memperjuangkan kehidupan wanita yang diceraikan mahupun ditinggalkan suami.
“Cadangan atau tindakan yang baik dan mampu membantu ke arah kelestarian kehidupan kaum wanita yang ditinggalkan lelaki melalui penceraian atau kematian adalah sangat-sangat diperlukan.
“Sebagai seorang ibu tunggal yang membesarkan 3 orang anak kecil setelah ditinggalkan suami, saya berpendapat cadangan ini berupaya membantu kami meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih sempurna,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan bercadang memperkenalkan satu mekanisme bagi membuat tuntutan terhadap suami yang liat membayar nafkah yang diputuskan Mahkamah Syariah selepas bercerai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata cadangan yang dipertimbang kerajaan termasuklah mengenakan sekatan bank terhadap bekas suami dan menuntut caruman KWSP.