
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, PAS tidak pernah menyokong kleptokrasi, termasuk dalam kes 1MDB, malah menentang mana-mana perkara yang bercanggah dengan undang-undang negara.
“Masa bila kami tidak lawan 1MDB?
“Himpunan di Perak adalah berkenaan ICERD dan isu lain. Benda baik kami sokong, benda jahat kami lawan,” katanya ketika dihubungi FMT.
Jumaat lalu, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Umno akan mengetuai kempen membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Menghapuskan Diskriminasi kaum (ICERD) yang digerakkan bersama PAS dan badan-badan bukan kerajaan.
Katanya, beliau dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan berkongsi pentas di satu himpunan di Pasir Salak, Perak pada 17 Nov ini.
Lim dalam satu tulisan di blognya semalam membidas PAS dan mendakwa sebagai sebuah parti Islam, PAS boleh menerima kleptokrasi yang dikecam oleh Islam dan semua agama.
Katanya, perkara itu lebih jelas apabila PAS bersikap terbuka dalam mengadakan perhimpunan bersama Umno di Perak, Sabtu depan.
“Lebih menyeramkan, di mana parti politik yang berlandaskan Islam seperti PAS boleh menerima kleptokrasi, yang dikecam oleh Islam dan semua agama, bahkan sistem moral di dunia- melalui agenda tidak bertulis perhimpunan bersama Umno-PAS hujung minggu ini,” katanya.
Lim merujuk kepada kes 1MDB sebagai amalan kleptokrasi yang didakwa melibatkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Idris berkata, Lim perlu “mencermin diri” dan melihat semula keputusan mahkamah sebelum ini yang membebaskan anaknya, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah.
“Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Kenapa dia tak marah bila pendakwaan ke atas Guan Eng ditarik balik. Adakah dia kecam?
“DAP pernah menentang konsep negara Islam dulu, tapi kita masih duduk dengan dia masa nak lawan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) walaupun kita tahu DAP menentang konsep negara Islam,” katanya lagi.
Lim Guan Eng sebelum ini didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika meluluskan satu urus niaga tanah, dan membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran.
Beliau bagaimanapun dibebaskan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selepas pendakwa raya memutuskan untuk menggugurkan kes tersebut.