Muhyiddin minta Maszlee lepas jawatan UIAM secepat mungkin

Muhyiddin minta Maszlee lepas jawatan UIAM secepat mungkin

Muhyiddin Yassin berkata kerajaan dan parti membuat keputusan tersebut namun Maszlee Malik meminta sedikit masa untuk berbuat demikian.

Muhyiddin Yassin berkata Maszlee Malik menerima keputusan yang dibuat kerajaan dan parti. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dinasihatkan supaya melepaskan jawatan presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan segera, kata Pengerusi PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga menteri Dalam Negeri, berkata kerajaan dan parti membuat keputusan tersebut namun ahli Parlimen Simpang Renggam itu meminta sedikit masa untuk berbuat demikian.

“Ini keputusan kerajaan dan juga parti, dan beliau tahu dan terima keputusan tersebut… atas sebab itu saya suka menasihatkan beliau untuk berbuat demikian secepat yang mungkin,” katanya mengulas kedudukan Maszlee sebagai presiden UIAM yang dipersoalkan kelayakannya kerana memegang portfolio sebagai menteri Kabinet.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang (JPU) hari ini yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Sebelum ini, media memetik kenyataan pegawai khas Maszlee bahawa Maszlee akan melepaskan jawatan tersebut selepas menyelesaikan beberapa isu termasuk mencari pengganti.

Maszlee dilantik sebagai presiden UIAM ke-7 selama 3 tahun pada September lepas setelah diperkenankan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah. Beliau menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai lepas.

Ditanya berkenaan sokongan terbuka wakil rakyat DAP terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Muhyiddin berkata beliau tiada masalah mengenainya kerana keputusan akhir meratifikasi ICERD terletak kepada kerajaan.

“Kita tidak membataskan sesiapa daripada mengemukakan pandangan kerana pada akhirnya kerajaan yang akan membuat keputusan dan kami bertanggungjawab memutuskan yang terbaik untuk negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.