Khairy: Bajet 2019 tidak bela nasib nelayan, petani, peladang dan pekebun kecil

Khairy: Bajet 2019 tidak bela nasib nelayan, petani, peladang dan pekebun kecil

Bajet 2019 tidak menyebut tentang inisiatif jaringan keselamatan sosial seperti bantuan musim tengkujuh dan bantuan khas menunggu musim menuai.

Khairy berkata, falsafah ekonomi dibawa PH lebih memberi tumpuan kepada penduduk bandar khususnya Kuala Lumpur, sedangkan bajet sewajarnya memberi tumpuan kepada rakyat di seluruh Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mempersoalkan Bajet 2019 yang dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini, yang menurutnya tidak memperuntukkan inisiatif khusus untuk membela golongan nelayan, petani, peladang dan pekebun kecil.

Khairy berkata, berdasarkan pembentangan menteri kewangan itu, beliau mendapati Bajet 2019 tidak menyatakan langsung status inisiatif jaringan keselamatan sosial yang sebelum ini dilaksanakan Barisan Nasional (BN) seperti bantuan musim tengkujuh dan bantuan khas menunggu musim menuai.

“Bantuan ini bukan untuk beli undi mereka. Bantuan ini tentang mereka dapat makan atau tidak kerana bagi golongan ini, ketika musim tengkujuh, ketika menunggu musim menuai, mereka hilang punca pendapatan utama,” katanya.

“Sekarang saya nak tanya, kalau bukan kerajaan yang bantu golongan ini sewaktu musim sebegini, siapa yang nak bantu mereka. Nak suruh pasaran bebas bantu mereka, nak suruh pemaju dan konglomerat gergasi bantu mereka?

“Kalau nak bantu petani dan nelayan hidup ketika musim-musim begini pun bukan tugas kerajaan, habis apa tugas kerajaan?,” katanya sewaktu berucap mewakili ketua pembangkang dalam uperbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2019, di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy berkata, falsafah ekonomi yang dibawa PH dalam Bajet 2019 lebih memberikan tumpuan kepada penduduk bandar khususnya Kuala Lumpur, sedangkan bajet sewajarnya memberi tumpuan kepada rakyat di seluruh Malaysia.

“Saya ingin bertanya adakah kerajaan ini berkhidmat untuk penduduk bandar sahaja? Inilah masalahnya bila falsafah ekonomi terlalu fokus kepada penduduk bandar. Ia juga sepatutnya berkaitan dengan nasib warga Felda.

“Pada saat ini, peneroka Felda gusar kerana Bajet 2019 tidak menjelaskan usaha meningkatkan harga kelapa sawit yang semakin turun hingga menjejaskan pendapatan,” katanya.

Khairy juga berkata, kerajaan PH langsung tidak menyentuh soal royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak, seolah-olah royalti minyak bukan lagi keutamaan kerajaan, berbeza dengan manifesto PH sebelum pilihan raya umum ke-14.

“Pembentangan menteri kewangan tempoh hari yang panjang lebar tidak sekalipun menyebut tentang royalti minyak.

“Sama ada sengaja atau buat-buat lupa, yang pasti persoalan royalti minyak kini seolah-olah dilihat tidak lagi menjadi keutamaan kerajaan, tidak sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto,” katanya, yang dipilih sebagai menteri kewangan bayangan BN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.