
Dunia kosemtik dan solekkan berkembang maju sehingga mencapai perniagaan pasaran berbilion dollar.
Mungkin itu menjadi sebab sebuah jenama kosmetik antarabangsa, Chrom memperkenalkan produk penggilat berwarna gigi, sama seperti pewarna kuku.
Berpusat di New York, Amerika Syarikat, pengasas Chrom, David Silverstein berkata ia selamat untuk sapuan di gigi dan produknya dijangka bakal mengegarkan dunia kosmetik selain mencetus trend baharu.
Dalam satu kenyataan kepada New York Post, beliau akui penggilat berwarna itu tidak mempunyai apa-apa rasa dan tidak melekit.
“Ia tidak melekit apabila penggunanya sedang makan dan tidak berperasa. Jadi ia tidak akan mencomotkan. Ia selamat dan selesa,” katanya.
Sementara itu, penggilat yang didatangkan dalam 10 warna itu boleh bertahan selama 24 jam dan mudah dibersihkan, iaitu dengan hanya memberus gigi.

Bagaimanapun Chrom enggan mendedahkan kandungan yang digunakan di dalam penggilat tersebut sebaliknya hanya mengakui ia diperbuat menggunakan asas alkohol dan pewarna berkualiti tinggi, bahan yang tidak merbahaya dan disahkan oleh doktor gigi.
Penggilat berwarna gigi ini boleh didapati pada harga US$20 atau RM80 untuk pasaran di Amerika Syarikat sahaja buat masa ini.
Nak cuba?