Duduk lama kesannya kepada kesihatan sama seperti merokok

Duduk lama kesannya kepada kesihatan sama seperti merokok

Duduk satu tempat selama beberapa jam sama bahayanya dengan merokok kerana ia juga membawa diri kita kepada penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, jantung hinggalah kanser.

Masih ingat kepada syor Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar kakitangan pejabat kerajaan mahupun swasta memperuntukkan 15 minit bagi melakukan aktiviti senaman sebagai budaya mengamalkan gaya hidup sihat?

Beliau mencadangkan agar kakitangan pejabat berehat seketika sekitar pukul 11 pagi di luar pejabat berhawa dingin dan membuat senaman.

Sebenarnya teguran dan cadangan tersebut amat berguna apatah lagi bagi pekerja di pejabat yang lazimnya duduk berjam-jam sehingga waktu makan, kemudian, sambung semula duduk berjam.

Menurut kajian, duduk satu tempat selama beberapa jam sama bahayanya dengan merokok kerana ia juga membawa diri kita kepada penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, jantung hinggalah kanser.

“Sitting is the new smoking,” kata seorang pakar kesihatan, Grace Joselini.

Satu analisis daripada 13 kajian berbeza menunjukkan mereka yang duduk 8 jam sehari tanpa sebarang aktiviti fizikal mempunyai risiko kematian yang sama dengan mereka yang merokok atau obes.

Berikut adalah kesan duduk lama untuk jangka pendek:
  • Duduk satu jam bakar 1 kilo kalori tetapi sepinggan hidangan mempunyai lebih kurang 300 kilo kalori.
  • Duduk selama 3 jam tanpa aktiviti membuatkan saluran darah menyempit hingga 50% dan ia meningkatkan risiko serangan jantung.
  • Duduk berterusan sehingga 3 jam boleh menurunkan kadar insulin kepada 50% dan meningkatkan risiko penyakit diabetes melitus tipe 2.
  • Duduk 6 jam pula meningkatkan lemak jahat atau LDL yang menjadi sebab saluran darah tersumbat.
Kesan jangka panjang duduk lama pula ialah:
  • Duduk lama di satu tempat sebagai rutin selama setahun boleh menyebabkan penurunan densiti tulang yang mengakibatkan penyakit osteoporosis.
  • Kesan bagi amalan ini untuk tempoh 20-30 tahun pula ialah meningkatkan risiko penyakit diabetes dan jantung sehingga 30%.

Jadi, ini antara perkara yang anda boleh lakukan bagi mengelak duduk lama di satu-satu tempat, memetik portal Mayoclinic:

  • Ambil rehat setiap 30 minit dari tempat duduk anda.
  • Berdiri ketika bercakap menggunakan telefon bimbit atau menonton skrin televisyen.
  • Keluar dan berjalan ke bilik mesyuarat yang lebih jauh bukan sekadar duduk di bilik mesyuarat yang beberapa langkah dari tempat anda.
  • Bagi mereka yang mampu, simpan mesin treadmill di pejabat. Apa kata ambil rehat sekejap dengan berjalan di atas mesin tersebut.
  • Berjalan seketika atau menggunakan tangga ke tingkat lain juga boleh membantu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.