
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, untuk tujuan itu, pihak yang bertanggungjawab berkaitan agama Islam perlu menjalankan amanah dengan sebaiknya bagi mengelak situasi pergolakan seperti yang berlaku di negara Islam di Timur Tengah, terjadi di sini.
“Saya bimbang jika terdapat pendekatan pelbagai mazhab dan ajaran di sini sehingga menjadikan kita dalam keadaan tidak ada perpaduan, ia tidak akan membawa kebaikan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Sambutan Ma’al Hijrah Tahun 1440H/2018 Peringkat Daerah Semporna di sini, semalam.
Beliau berkata, perbezaan fahaman dan mazhab yang tidak berlandaskan ajaran Islam sebenar menjadi antara punca umat Islam berpecah-belah sehingga membawa kepada keruntuhan pentadbiran negara.
Pada majlis itu, Mohd Shafie turut menyampaikan sumbangan kepada 90 penerima dari kalangan ibu tunggal, warga emas, pelajar miskin dan anak yatim.