Kerajaan saran kaedah tuntut suami bayar nafkah pada bekas isteri

Kerajaan saran kaedah tuntut suami bayar nafkah pada bekas isteri

Mujahid Yusof Rawa berkata, tuntutan nafkah bagi bekas isteri itu boleh dibuat menggunakan kaedah seperti caruman KWSP dan akaun bank suami.

Mujahid Yusof Rawa berkata, Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah akan memberi 6 bulan kepada suami untuk membayar nafkah kepada isteri yang diceraikan itu.
PARIT BUNTAR:
Kerajaan bercadang memperkenalkan satu mekanisme membuat tuntutan terhadap suami yang liat membayar nafkah diputuskan Mahkamah Syariah, setelah menceraikan isteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata langkah itu bertujuan membela wanita yang selama ini ditindas sesetengah suami tidak melaksanakan tanggungjawab membayar nafkah kepada isteri yang mereka ceraikan.

Beliau berkata, mekanisme itu akan membolehkan Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah menggunakan kaedah seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan akaun bank suami untuk membayar nafkah kepada isteri yang diceraikan, setelah diputuskan Mahkamah Syariah.

Katanya, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) jabatan itu akan memberi 6 bulan kepada suami, selepas diputuskan mahkamah untuk membayar nafkah kepada isteri yang diceraikan itu.

“Dalam tempoh 6 bulan itu, jika isteri tidak mendapat nafkah, tindakan undang-undang akan diambil terhadap suami dan pihaknya juga akan menuntut bayaran selama 6 bulan nafkah yang diberikan BSK (kepada isteri) daripada suami.

“Saya akan bertemu dengan BSK esok atau lusa bagi membincangkan undang-undang, mal tuntutan nafkah kerana ia juga melibatkan negeri berbeza supaya perkara itu dapat diselaraskan,” katanya selepas menemui petani di perkarangan Surau Pak Kassim di Tanjung Piandang, dekat sini, hari ini.

Mengenai isu NGO Islam menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Mujahid berkata, beliau sudah berjumpa dengan 10 NGO Islam baru-baru ini dan mendengar pendapat mereka.

Katanya, ada beberapa perkara yang perlu ditegaskan, pertamanya ia tidak akan menjejaskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam, agama, hak keistimewaan bumiputera, kuasa raja-raja Melayu dan hak negeri untuk mentadbir Islam.

“Kedua ialah jika perjanjian itu ditandatangani, ia belum menjadi undang-undang kerana ianya akan dibentangkan di Parlimen dan ianya boleh diterima dan boleh ditolak, jika ada undang-undang yang hendak digubal bersesuaian dengan piawaian yang ditetapkan.

“Ketiga, ICERD itu sendiri tidak menyebut kita perlu korbankan diskriminasi yang wujud dalam konteks positif diskriminasi, iaitu pembelaan kepada kaum ditindas, malah jika kaum yang ditindas itu tidak dibela, itu merupakan satu diskriminasi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.