
Zaid berkata, Hishamudin Yunus, yang dilantik ke jawatan itu awal bulan lalu, mesti berwaspada dan mengawal semangatnya.
“Untuk membawa Malaysia meratifikasi ICERD seakan berharap Malaysia akan menang pingat emas dalam golf. Minta maaf, ia lebih sukar daripada itu,” katanya di X.
Sebaliknya, beliau berkata, Hishamudin boleh bermula dengan Suhakam menangani lebih banyak lagi isu ‘lebih ringan’ berkait hak asasi, seperti melibatkan balai polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Zaid berkata, kebiasaannya laporan polis digunakan sebagai justifikasi untuk soal siasat dan Suhakam sepatutnya memastikan laporan palsu tidak terlepas pandang dan dikenakan hukuman.
“Reman cukup efektif menakutkan suspek,” katanya sambil menambah Suhakam sepatutnya memastikan polis dan majistret mematuhi prosedur berkaitan kuasa reman.
Beliau juga menekankan keadaan bilik tahanan yang dikatakan gelap dan kotor, sekali gus mampu menakutkan suspek.
“Suruh polis membersihkan bilik dan tidak meletakkan terlalu banyak suspek dalam sebuah bilik,” katanya.
Zaid turut berkata, Suhakam boleh memeriksa kuasa SPRM membekukan akaun mereka yang sedang disiasat.
“Apabila kuasa tanpa had diberikan kepada pihak berkuasa menyiasat, kuasa meluas seperti itu mengundang kesukaran kepada ramai orang,” katanya tanpa merujuk sebarang kes tertentu.
“Jadi, saya menyeru Hishamudin tumpu bagaimana polis dan SPRM kita ini melaksanakan kuasa mereka dalam kehidupan rakyat seharian, sebelum mahu ‘mendaki Gunung Everest’.
“Saya tahu Napoleon (Bonaparte) ada berkata ‘tiada yang mustahil’, namun beliau juga ada kata buat yang senang dulu.”
Pada 8 Ogos, Hishamudin menyuarakan harapan Putrajaya akan menandatangani perjanjian antarabangsa, seperti ICERD dan
Konvensyen Pelarian 1951 sebelum penggal tiga tahunnya tamat pada Julai 2027.