
Ia merupakan kemunculan awam pertama Zakir selepas berdiam diri sejak pilihan raya umum Mei lepas yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN).
Zakir mempunyai hubungan baik dengan pemimpin kerajaan sebelum ini dan diberikan status pemastautin tetap.
Beliau dan isterinya, Farhat, yang kini tinggal di Malaysia sewaktu pihak berkuasa India menyiasat dakwaan penglibatannya dalam kegiatan pengubahan wang dan mempromosi keganasan, akan berucap di masjid, pusat Islam dan universiti di negeri itu.
Jelajah itu dianjurkan oleh One Centre Malaysia, sebuah pertubuhan berpangkalan di Perlis diketuai aktivis Islam, Zamri Vinoth, yang merupakan penyokong kuat mufti negeri berkenaan, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Antara badan lain yang turut terlibat adalah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Asri merupakan penyokong kuat Zakir, yang didakwa mempromosi Salafisme – aliran Islam kontroversi yang dimajukan di Arab Saudi – tetapi dianggap mengancam keharmonian kaum di Malaysia.
Zakir menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Islam berfahaman sederhana di Malaysia, selain kumpulan orang bukan Islam berikutan ceramah beliau mengenai perbandingan agama.
Awal tahun ini, saman yng difailkan persatuan penganut agama Hindu, Hindraf, terhadap kerajaan sebelum ini kerana melindungi Zakir diketepikan oleh Mahkamah Tinggi.
Siri jelajah Zakir yang dijadualkan bermula dari 1 hingga 5 Dis depan, akan berkisar isu perpaduan orang Islam, kemanusiaan dan sains.
Isteri beliau, Farhat pula, dijadualkan menyampaikan ceramah kepada wanita Islam mengenai tajuk seperti dakwah Islam, kekeluargaan dan peranan ibu serta wanita Islam mithali.