
Beliau berkata, lantikan itu dibuat melalui merit dan selepas mendapat kata sepakat pihak tertinggi.
“Pegawai-pegawai kerajaan banyak saja dari kerajaan terdahulu,” katanya selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ke-34, hari ini.
“Apa yang dia (Wahid) lakukan?
“Saya tidak rasa kita patut bergantung kepada khabar angin. Sebab kamu kata dia telah disingkirkan dari PNB (Permodalan Nasional Berhad)? Tidak, itu khabar angin dan kita tidak membuat keputusan dari khabar angin.”
Wahid dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah UKM berkuatkuasa 1 November lalu hingga 31 Oktober 2021, menggantikan Tan Sri Dr Ibrahim Saad.
Wahid sebelum ini dilantik sebagai senator untuk mengetuai satu portfolio di Jabatan Perdana Menteri di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Beliau kemudian meletak jawatan dan selepas pertukaran kerajaan pada 9 Mei lalu, bekas ketua Maybank itu disingkir daripada jawatan pengerusi PNB yang disandangnya sejak 1 Ogos 2016.
Kadir dalam blognya baru-baru ini berkata: “Mungkin Maszlee tidak sedar Wahid telah dipecat daripada PNB atau dia tidak bersetuju dengan penyingkirannya, atau hanya Maszlee terlalu pandai untuk manusia biasa.”
Sementara itu, Maszlee enggan mengesahkan jika beliau sudah meletak jawatan sebagai presiden UIA.
Beliau yang kelihatan berang berkata, ia akan dibincang dan diberitahu kelak.
“Di mana awak dapat berita tu? Saya tak rasa ia sesuai untuk dibincangkan sekarang.
“Orang tengah menghadapi satu peristiwa yang bermakna, bersejarah, awak nak membawa berita yang (bersifat) khabar angin ini. Saya rasa tidak sesuai. Kita tangguhkan ke waktu lain.”
Beliau turut menasihatkan wartawan supaya menghormati penganjur dan tidak merosakkan majlis hari ini.
“Awak tidak mahu bersikap tidak menghormati tuan rumah.
“Kita sedang menghadapi hari perkahwinan, tapi kamu datang sebagai ‘penghancur majlis’ dan tanya bila mahu bercerai.
“Ini bukan cara rakyat Malaysia. Tapi, saya tidak tahulah sama ada kamu pentingkan etika, tetapi pada saya, saya tak rasa ini beretika untuk tanya tentang perkara itu.”
Semalam, seorang pembantu Maszlee dilaporkan berkata, menteri itu bersetuju melepaskan jawatan presiden UIA apabila pengganti sesuai dilantik, susulan tekanan daripada rakan Kabinet, pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan aktivis pelajar mengadakan bantahan terhadap pelantikannya sebelum ini.
Pejabat menteri pendidikan memaklumkan Maszlee membuat keputusan menunda pengundurannya daripada UIA selepas selesai majlis konvokesyen 4 hari yang bermula hari ini.
Dalam pada itu, Maszlee berkata, Kabinet setuju meminda Seksyen 15 dan 16 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
Katanya, pindaan itu akan memberi kebebasan kepada pelajar universiti untuk berpolitik dan sejajar hasrat kerajaan PH menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
“Jadi, dengan persetujuan daripada Kabinet, pindaan undang-undang tersebut akan dibawa ke Parlimen, selepas habis perbahasan berkaitan dengan belanjawan.”
Mengenai cadangan penubuhan parti politik di universiti awam, beliau berkata, perkara itu bergantung kepada keputusan senat universiti masing-masing.
“Itu bukan cadangan, kita tak suruh.
“Maksudnya, kita mengatakan ada kebebasan di situ untuk mereka menubuhkannya, tetapi ia terletak kepada keputusan senat universiti kerana kita tahu universiti mempunyai kuasa autonomi. Kalau senat kata tak sesuai dan sebagainya, itu tak sesuai.”