Tangguh skim dana awam hartanah dari Bajet 2019, kata Majlis Perundingan Melayu

Tangguh skim dana awam hartanah dari Bajet 2019, kata Majlis Perundingan Melayu

Tidak wajar pembeli didedahkan kepada risiko, termasuk pembeli yang tidak arif dengan skim baru itu serta pemilik wang haram yang dikhuatiri mengeksploitasi kaedah berkenaan.

Dr Hasan Mad berkata, skim pendanaan awam hartanah perlu dikeluarkan daripada Belanjawan 2019. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Skim pendanaan awam hartanah perlu dikeluarkan daripada Belanjawan 2019 dan ditangguhkan pelaksanaannya untuk dikaji secara menyeluruh, kata Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Setiausaha Agung Datuk Hasan Mad berkata skim berkenaan yang mengetengahkan pembayaran hanya 20% kepada golongan B40 untuk memiliki rumah pertama manakala selebihnya dibiaya menerusi “peer-to-peer lending” atau pelabur belum cukup teruji kesesuaiannya.

Justeru tidak wajar pembeli didedahkan kepada risiko yang boleh dijangkakan, termasuk pembeli yang tidak arif dengan skim baru ini dan pemilik wang haram yang dikhuatiri mengeksploitasi kaedah berkenaan.

“Kaedah ini wajib diuji kesesuaiannnya dan segala permasalahan dimitigasi dahulu agar peminjam majoritinya dalam kalangan golongan B40 tidak terdedah kepada risiko memperoleh sumber dana yang diragui dan mekanisme pembiayaannya masih kabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasan berkata, MPM menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk mengkaji kandungan Belanjawan 2019 dan beliau ditugas meneliti cadangan berkaitan perumahan.

Walaupun memuji tindakan kerajaan memperkenalkan skim inovatif berkenaan bagi menyediakan kaedah pemilikan rumah yang baru, Hasan berpendapat buat masa ini, kejayaan skim itu hanya satu kemungkinan kerana ia belum terbukti sesuai.

“Keraguan kami berasas. Malah ia konsisten dengan keraguan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yang mahukan bukti bahawa kaedah ‘property crowd funding’ sebagai skim pembiayaan perumahan ini sesuai dilaksanakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.