
Tawaran itu dibuat selepas forum yang dianjurkan Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) UKM pada awalnya ditangguhkan selepas tajuknya dikatakan menimbulkan kebencian antara kaum.
Ramasamy berkata beliau tidak mempunyai masalah jika forum itu diteruskan, tetapi berkata penyertaannya akan menjadikan ahli panelnya pelbagai kaum.
“Kita tidak patut menghalangnya,” katanya kepada FMT. “Saya setuju wacana itu diteruskan. Kemusykilan saya adalah mengapa ahli panelnya tidak termasuk semua kaum?
“Semua ahli panelnya orang Melayu, kenapa mereka tidak menjemput orang bukan Melayu, kerana ia mengenai kaum India?”
Katanya, beliau sentiasa mengambil perhatian mengenai migrasi kaum India ke Tanah Melayu, mengulas tema wacana tersebut.
“Anda tidak boleh membincangkannya tanpa penyertaan ahli panel India. Saya yakin saya boleh memberi satu dua pendapat.
“Saya pernah menganjurkan wacana berkaitan diaspora India di Malaysia, rantau Asia Tenggara dan ditugaskan menggali tinggalan arkeologi di Guar Kepah,” kata Ramasamy.
Wacana yang pada asalnya bertajuk “Polemik Kehadiran Masyarakat India di Semenanjung Tanah Melayu: Migrasi atau Imigran”, ditukar tajuk kepada “Kependudukan dan Pergerakan Etnik di Kepulauan Melayu”. Ia akan diadakan pada 14 November dan akan menampilkan 4 ahli akademik.
Semalam, parti politik yang dikenali sebagai Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira) mendakwa penganjur menimbulkan kebencian antara kaum dengan mengadakan forum sedemikian.
Ramasamy berkata beliau tidak setuju dengan penggunaan perkataan “polemik” dalam tajuk asal forum itu, sambil menambah migrasi kaum India ke seluruh pelusuk dunia ini telah pun dibincangkan.
“Kehadiran orang India di Asia Tenggara dan Malaysia adalah persoalan yang telah diselesaikan, ia bukan polemik,” katanya.
Ramasamy berkata wacana itu kemungkinan besar adalah maklum balas terhadap kenyataan Subashini Kanagasundram, cendikiawan yang berpangkalan di Jerman yang bercakap di satu seminar di Pulau Pinang pada 21 Oktober mengenai warisan Tamil dan bagaimana mereka berhijrah ke Tanah Melayu.
Ramasamy berkata isu itu mencetuskan kemarahan selepas akhbar harian Melayu tempatan menyindir seminar itu mempersoalkan tamadun Melayu.