
MANILA: Mahkamah anti-rasuah Filipina mengarahkan isteri bekas presiden negara itu, Imelda Marcos, ditahan dan bakal berdepan hukuman penjara sekurang-kurangnya 6 tahun.
Balu Ferdinand Marcos yang terkenal dengan koleksi lebih 1,000 pasang kasut itu, didapati bersalah atas 7 pertuduhan rasuah kerana memiliki akaun bank Switzerland sebagai seorang anggota Kabinet ketika suaminya memerintah negara itu 3 dekad lalu.
Berdasarkan keputusan Mahkamah Sandiganbayan hari ini, Imelda yang juga ahli kongres berusia 89 tahun itu, berdepan hukuman penjara 6 hingga 11 tahun bagi setiap kesalahan rasuah itu.
Kes itu ditangguhkan mahkamah anti-rasuah selama 27 tahun. Beliau dibenarkan diikat jamin dan memfailkan rayuan di Mahkamah Agung.
Keluarga Marcos ialah penyokong Presiden, Rodrigo Duterte.