
Hakim Mahkamah Sesyen, Azmil Muntapha Abas yang bertindak sebagai majistret menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Irwan Abdul Jalil, 27, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes hari ini.
Mahkamah kemudian memerintah tertuduh yang juga seorang duda menjalani hukuman penjara itu bermula tarikh dia ditahan 3 Oktober lalu, iaitu selepas video detik cemas kejadian di sebuah kedai dobi layan diri di Bukit Sentosa, Rawang, tersebar di Facebook.
Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Azmil berkata: “Perbuatan kamu memasukkan seorang kanak-kanak ke dalam mesin basuh boleh menyebabkan bahaya dan mengancam keselamatan kanak-kanak itu.
“Sekiranya mesin basuh itu berpusing, apa akan jadi kepada kanak-kanak itu kerana peralatan dobi untuk mencuci pakaian bukan untuk gurauan,” katanya.
Beliau turut bertanyakan tertuduh adakah beliau meminta maaf kepada kakaknya yang merupakan pengadu kes ini.
“Sudah minta maaf dengan kakak?” soalnya kepada tertuduh yang berkata dia sudah meminta maaf kepada pengadu.
Tertuduh didakwa memasukkan anak saudara lelakinya berusia 3 tahun ke dalam mesin basuh sehingga membahayakan keselamatan mangsa di sebuah kedai dobi di Seksyen BS1, Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada 12.30 tengah malam, 2 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 3 bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Khairulazhwa Yusrie Mohamad memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya kejadian itu tidak berulang lagi.
Bagaimanapun, Irwan yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia menanggung ibu dan adik bongsu dengan pendapatan RM1,000 sebulan sebagai jurujual.
Mengikut fakta kes, kakak kepada tertuduh sedang mencuci baju di kedai dobi itu, apabila tertuduh memasukkan mangsa ke dalam mesin basuh. Bagaimanapun, gurauan itu membawa padah apabila mesin basuh itu terkunci secara automatik.
Kakak tertuduh kemudian meminta pertolongan orang ramai untuk mengeluarkan anaknya.
Ekoran kejadian itu, kakak tertuduh membuat laporan polis dan tertuduh ditahan pada 2.50 pagi keesokannya.