
Tajuk drama bersiri Melayu, “Isteri Untuk Disewa” yang mula ditayangkan Isnin lalu menerima teguran Mufti Wilayah Persekutuan kerana menyalahi hukum agama.
Menerusi catatan Qalam Mufti dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan yang turut dikongsi di dalam laman Facebook, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberikan penjelasan panjang lebar mengenai hukum hakam yang terlibat.
Mudahnya, hukum menyewa isteri adalah haram dan apabila ia difahami secara zahir, maka ia amat bertentangan dengan zahir nas al-Quran dan Sunnah di samping moral kehidupan manusia sama ada Islam mahupun bukan Islam, kata beliau.
Ini bagaimanapun, tidak bermakna pihaknya menafikan kebebasan berkarya penggiat seni cuma beliau menegur tajuk dan jalan cerita yang ingin disampaikan kurang sesuai.
“Alasan kami jelas, isteri bukan untuk disewa.
“Isteri adalah akad yang sahih dan diperintahkan untuk bergaul dengan baik sebagaimana yang tertera dalam Surah al-Nisa’ ayat 19,” katanya.
Zulkifli tidak menolak, sekiranya tidak ditegur, amalan ini akan menjadi trend dan membawa kesan tidak baik kepada masyarakat.
“Dalam Islam, isteri tidak boleh dikontrakkan sama ada dalam tempoh jam, hari, minggu atau bulan,” ujar beliau.
“Kami yakin, tidak ada sekelumit niat dalam hati penulis novel dan pengarah tersebut untuk membuat sesuatu yang di luar kerangka Islam namun, sewaan isteri jelas sekali adalah sejuzuk daripada cabang mut’ah yang tidak dibenarkan dalam kalangan fuqaha’ Ahli Sunnah wal Jama’ah dan diharamkan dalam Islam,” tulis Zulkifli.
Beliau percaya pengarah drama mungkin terkhilaf dalam menentukan tajuk dan jalan cerita drama tersebut yang diadaptasi daripada sebuah novel.
“Kami amat yakin bahawa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atau Lembaga Penapis Filem (LPF) sentiasa memainkan peranan yang lebih aktif dalam memastikan drama dan filem yang disiarkan, mencapai standard kualiti dan moral yang terbaik,” tambah beliau.
Zulkifli berharap pada masa akan datang karya dibuat selari dengan agama dan budaya ketimuran.
“Sekali lagi ditegaskan bahawa kami sama sekali tidak berhasrat kebebasan dan kreativiti dalam berkarya.
Drama adaptasi novel karya Syamnuriezmil, melibatkan pelakon, Fattah Amin dan Tiz Zaqyah sebagai watak utama dan diterbitkan oleh Nuansa Sdn Bhd diarah oleh Osman Ali untuk saluran Astro Ria.