Jangan mudah dibeli ‘tauke’, Azmin ingatkan PKR Sarawak

Jangan mudah dibeli ‘tauke’, Azmin ingatkan PKR Sarawak

Azmin Ali berkata ahli parti yang mengundi diibaratkan 'berperang' bagi mempertahankan PKR yang wujud bukan untuk individu, kumpulan atau keluarga, sebaliknya untuk rakyat keseluruhan.

Azmin Ali menasihati ahli PKR Sarawak tidak main politik wang dalam pemilihan parti, Sabtu ini.
KUCHING:
Ahli PKR Sarawak yang akan melaksanakan pemilihan parti minggu ini diingatkan supaya tidak mudah dibeli oleh “tauke”, sebaliknya mempertahankan parti itu yang ditegakkan atas agenda reformasi.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ahli parti itu yang akan mengundi boleh diibaratkan turun untuk “berperang” bagi mempertahankan PKR yang wujud bukan untuk individu, kumpulan atau keluarga, sebaliknya untuk rakyat keseluruhan.

“Kita menolak kronisme, nepotisme dan korupsi, kalau inilah semangat yang ditunjukkan oleh ahli dan pimpinan PKR Sarawak saya percaya hujung minggu ini kita akan mencipta satu lagi sejarah bahawa orang Sarawak tidak boleh dibeli oleh tauke-tauke.

“Kita tidak ada wang berjuta-juta ringgit, kita tidak ada jet peribadi, kita hanya ada semangat dan idealisme, jangan mana-mana tauke merampas perjuangan PKR Sarawak,” katanya dalam ucapan pada majlis makan malam bersama ahli parti PKR daripada 29 cabang Sarawak malam tadi.

Turut hadir Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian serta beberapa calon dalam Pasukan Muafakat Keadilan yang dipimpin Azmin.

Mengulas lanjut, Azmin yang akan mempertahankan jawatan timbalan presiden berkata ahli parti perlu memilih pemimpin yang peduli kepada ahli, rakyat, dan sayang kepada Sarawak serta mahu membangunkan parti itu.

“Jangan bersandarkan kepada tauke, jangan sama sekali main politik wang dalam pemilihan parti. Saya mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana telah pun menjalankan siasatan dan beberapa orang telah pun ditahan.

“Saya mahu SPRM teruskan siasatan bukan sahaja melihat kepada siapa yang terlibat tetapi siasat siapa dalang. Dalang juga harus dihadapkan ke muka pengadilan, jangan runtuhkan apa yang kita bina selama 20 tahun, jangan kerana kerakuskan kamu nak letakkan anak kamu, nak letak pakcik kamu nak letak bapa saudara kamu, nak letak bapa kamu, kamu hina ahli yang lama berjuang menegakkan keadilan di bumi Kenyalang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.