Agensi antarabangsa ubah prospek penarafan Petronas kepada negatif

Agensi antarabangsa ubah prospek penarafan Petronas kepada negatif

Moody's berkata tindakan itu disebabkan oleh pengumuman kerajaan bahawa Petronas akan membayar dividen RM26 bilion pada 2018 dan RM54 bilion pada 2019.

KUALA LUMPUR: Moody’s Investors Service mengesahkan penarafan A1 penerbit tempatan dan mata wang asing tidak bercagar kanan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) tetapi mengubah prospek daripada stabil kepada negatif.

Agensi penarafan itu juga mengesahkan penarafan A1 untuk nota tidak bercagar kanan Petronas Capital Ltd dan program nota jangka sederhana (MTN) AS$15 bilion serta sukuk yang dikeluarkan melalui Petronas Global Sukuk Ltd, tetapi mengubah prospeknya menjadi negatif daripada stabil.

Moody’s berkata, tindakan penarafan itu disebabkan oleh pengumuman kerajaan bahawa Petronas akan membayar dividen sebanyak RM26 bilion pada 2018 dan RM54 bilion (termasuk dividen istimewa sebanyak RM30 bilion) pada 2019.

“Prospek negatif terhadap penarafan Petronas mencerminkan pandangan kami bahawa profil kewangannya mungkin merosot jika kerajaan terus meminta syarikat itu untuk mengekalkan pembayaran dividen yang tinggi, terutama jika harga minyak merosot,” kata Naib Presiden Kanan Moody’s Vikas Halan dalam kenyataan hari ini.

Walaupun syarikat minyak negara itu boleh menyokong pembayaran dividen yang diumumkan dalam belanjawan dan masih mengekalkan kedudukan tunai bersih, peningkatan selanjutnya dalam pembayaran dividen tetap tidak dapat diketepikan, terutama jika keperluan pembiayaan kerajaan meningkat, katanya.

“Pulangan pemegang saham yang tinggi akan mengurangkan keupayaan syarikat untuk menyerap turun naik harga minyak mentah dan mengekang fleksibiliti kewangannya. Bagaimanapun, Moody’s menjangka Petronas akan terus melabur dalam pertumbuhan pengeluaran dan rizabnya,” katanya.

Halan menegaskan perubahan dasar kerajaan selanjutnya untuk sektor minyak dan gas boleh mempengaruhi kedudukan Petronas sebagai pemilik tunggal sumber petroleum negara dan meningkatkan royalti yang dibayar ke atas pengeluaran minyak dan gas huluannya.

Leveraj kewangan kasar Petronas, seperti yang diukur oleh jumlah hutang/pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan, meningkat kepada 0.7 kali bagi 12 bulan yang berakhir pada 30 Jun 2018 daripada kira-kira 1.0 kali pada 2016.

Moody’s menjangka syarikat itu mengekalkan leveraj kewangan kasarnya di bawah 0.8-1.0 kali dalam tempoh 2 hingga 3 tahun akan datang.

Ia berkata, jumlah hutang/jumlah permodalan Petronas kekal konservatif, di bawah 15% setakat 30 Jun 2018, dan Moody’s menjangkakan nisbah ini akan kekal pada 15-20% dalam tempoh 2 hingga 3 tahun akan datang berbanding penurunan tahap ambang melebihi 30-35%.

Berdasarkan kepada jumlah yang diselaraskan Moody’s, kedudukan tunai bersih syarikat – yang meningkat kepada RM97 bilion pada 30 Jun 2018 berbanding RM42.8 bilion pada 31 Disember 2016 – berkemungkinan kekal pada RM75 bilion – RM80 bilion dalam tempoh 2 hingga 3 tahun, berdasarkan andaian harga minyak semasa agensi penarafan tersebut sebanyak AS$50-US$70 setong sepanjang 2019.

“Secara keseluruhan, metrik kredit Petronas akan terus menjadi lebih kukuh daripada tahap yang diperlukan untuk mengekalkan penarafan A1nya jika tidak ada permintaan dividen satu kali lebih besar daripada kerajaan atau jika kerajaan membenarkan Petronas mengurangkan dividen apabila harga minyak merosot,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.