
Meskipun tidak mempunyai tangan dan kaki, Jamie Andrew mengetepikan segala halangan untuk menakluki gunung Matterhorn di Switzerland.
Pemuda berusia 49 tahun dari Scotland berjaya mendaki puncak Alpine setinggi 14,692 kaki itu dengan kaki prostetik dan penyokong khas, hanya mengambil masa hampir 13 jam untuk sampai dan turun semula ke pangkalan kem.
Walaupun Andrew mengambil masa lebih daripada 5 jam berbanding kebanyakan pendaki lain tetapi itu tidak mematahkan semangat beliau untuk menamatkan apa yang beliau mulakan.
Kekurangan yang dialami tidak pula menghalang beliau untuk melakukan pendakian menakjubkan di seluruh dunia.
Antara pencapaian membanggakan ialah mendaki Kilimanjaro, Ben Navis serta menyertai Marathon London.
Selain mendaki, beliau juga terlibat mengumpul beberapa ribu pounds untuk kutipan amal dan memupuk semangat tinggi kepada orang ramai menerusi ceramah motivasinya.
Semalam, Andrew menerima anugerah ‘The BrandLaureate International Brand Personality’ sebagai mengiktiraf karier beliau yang cemerlang sebagai pendaki berbakat.
Beliau menerima trofi bersalut emas 24k dan sijil yang disampaikan oleh presiden ‘The BrandLaureate’ Dr KK Johan di pejabat agensi itu di Petaling Jaya.
Turut hadir Pengerusi ‘The BrandLaureate’, Tan Sri Rainer Althoff.
Anugerah dari Pacific Asia Brands Foundation di Malaysia diberi kepada individu yang menyumbang secara signifikan kepada kehidupan orang ramai di seluruh dunia menerusi kepakaran masing-masing.