
Adun Sungai Sibuga itu berkata, isu berhubung kesahihan pelantikan Datuk Seri Shafie Apdal dari segi perlembagaan belum selesai sepenuhnya.
“Isu ini bukan soal sama ada saya menjadi ketua menteri atau tidak,” katanya selepas mahkamah menolak saman pemula untuk mengembalikan jawatan itu kepadanya hari ini.
“Ini soal yang sangat penting, iaitu mengenai keluhuran dan tafsiran yang sebenar terhadap perlembagaan negeri serta kuasa TYT untuk melantik dan memecat ketua menteri,” katanya merujuk Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin yang membenarkan Shafie mengangkat sumpah kurang 48 jam selepas Musa mengangkat sumpah pada 10 Mei lalu.
Hakim, Datuk Yew Jen Kie bagaimanapun memerintahkan Musa membayar kos RM15,000 masing-masing kepada Shafie dan Juhar.
Yew dalam penghakimannya berkata, tiada keperluan mengemukakan usul kepercayaan dalam Dewan Undangan Negeri Sabah bagi menentukan siapa yang mendapat sokongan wakil rakyat.
Katanya, gabenor boleh membuat keputusan itu berdasarkan “bukti luar” seperti akuan berkanun wakil rakyat yang berpaling tadah dan menyuarakan sokongan kepada Shafie.
“Berdasarkan semua alasan yang saya nyatakan, saya menolak kedua-dua saman pemula itu,” kata Yew dalam penghakimannya selama 2 jam.
Musa diwakili peguam, Tengku Fuad Tengku Ahmad dan S Vanugopal.
Shafie pula diwakili Datuk Douglas Lind, manakala Peguam Besar Sabah, Datuk Zaleha Rose Pandin mewakili Juhar.