
Selepas meneliti Bajet 2019, bekas perdana menteri itu mendapati peruntukan bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Industri Utama berkurangan secara “dahsyat”.
Katanya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar mendapat peruntukan sebanyaj RM5.3 bilion dalam Bajet 2018, tetapi jumlah itu dikurangkan kepada RM3 bilion dalam Bajet 2019 yang diumumkan Jumaat lalu.
“Penurunan ini disumbang oleh pemotongan 73% bajet untuk Mara, iaitu daripada RM3.5 bilion bagi 2018 kepada hanya RM1.3 bilion untuk tahun depan,” tulisnya di Facebook malam ini.
Najib berkata, peruntukan bagi Kementerian Industri Utama pula dipotong lebih 72% kepada RM125 juta, di mana bantuan musim tengkujuh bagi pekebun kecil dan penoreh getah sebanyak RM261 juta pada tahun lalu, dimansuhkan.
Katanya, bantuan yang diberikan tahun lalu itu bertujuan meringankan beban pekebun kecil dan penoreh getah yang kekurangan pendapatan pada musim hujan.
“Mulai tahun depan, mereka tidak lagi dapat bergantung kepada bantuan ini.”
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, subsidi serta insentif bagi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula dipotong lebih 50%.
Katanya, subsidi baja padi dan insentif pengeluaran padi dipotong 50%, elaun sara hidup nelayan berkurangan sebanyak 67%, manakala subsidi padi bukit dimansuhkan.
“Mungkin penduduk luar bandar, sektor pertanian dan perladangan tidak lagi penting kepada Malaysia Baharu?
“Walaupun sudah memaksa Petronas membayar RM54 bilion untuk tahun ini dan tahun depan, golongan-golongan di atas seperti telah diketepikan.”