Kajian: Diet kaya ikan kurangkan simptom asma kanak-kanak

Kajian: Diet kaya ikan kurangkan simptom asma kanak-kanak

Diet sihat menjadi terapi paling baik untuk kanak-kanak menghidap asma.

Kajian mendapati diet Mediterranean berasaskan tumbuhan dan minyak ikan menunjukkan penurunan signifikan dalam radang bronkus.
SYDNEY:
Memakan ikan seperti salmon, trout dan sardin boleh mengurangkan gejala asma pada kanak-kanak, demikian menurut satu penyelidikan oleh Universiti La Trobe Australia.

Ketua penyelik Maria Papamichael berkata, hasil kajian yang diterbitkan pada Isnin itu mendapati diet sihat menjadi terapi terbaik untuk kanak-kanak yang menghidap asma, lapor agensi berita Xinhua.

“Kita sedia maklum diet tinggi lemak, gula dan garam boleh mempengaruhi perkembangan asma dan ia boleh dihalang menerusi pengambilan makanan sihat,” katanya.

Daripada 64 kanak-kanak mengalami asma ringan yang mengambil bahagian dalam penyelidikan itu, sebahagian mengamalkan diet tradisional Mediterranean berasaskan tumbuhan dan minyak ikan, manakala selebihnya lagi mengamalkan diet biasa.

Mereka yang mengikuti diet Mediterranean menunjukkan penurunan signifikan dalam radang bronkus.

“Ikan berlemak tinggi dalam asid lemak Omega-3 mempunyai sifat anti-radang,” jelas Papamichael.

Menurut Prof Bircan Erbas dari Sekolah Psikologi dan Kesihatan Awam La Trobe, “asma adalah penyakit pernafasan paling biasa dalam kalangan orang muda dan kebanyakan kanak-kanak kerap dikejarkan ke Jabatan Kecemasan hospital disebabkan serangan asma”.

“Jadi adalah penting untuk kita mencari terapi baru yang boleh digunakan bersama ubat-ubatan asma konvensional,” kata Erbas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.