
Pemasyhuran itu berlangsung pada Istiadat Menghadap Sembah Taat dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan bersempena ulang tahun keputeraan ke-62 Sultan Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. di sini.
Afifi, 42, dimasyhurkan sebagai Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Negeri Perak.
Istiadat bermula dengan Afifi duduk bertinggul di hadapan Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim serta mengangkat sembah beberapa kali sebelum Setiausaha Dewan Negara Perak membaca pengisytiharan gelaran diikuti laungan ‘Daulat’ sebanyak 3 kali oleh semua tetamu yang hadir.
Anak kelahiran Batu Gajah itu diiktiraf sebagai orang Melayu pertama berjaya menjadi tenaga pensyarah di universiti berprestij itu.
Atas kecemerlangannya menyumbang ilmu pendidikan Islam, Afifi disenarai pendek sebagai penerima Anugerah Muslim Tahunan UK bersama Prof Muhammad Abdel Haleem pada 2009.
Pada Julai lepas, beliau dilantik bersama 4 tokoh agama lain menganggotai Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam peringkat Persekutuan sebagai timbalan pengerusi.
Afifi juga menjadi penerima pertama Anugerah Tokoh Ilmuan Perak disampaikan Sultan Nazrin bersempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat (Pulara) di Pulau Pangkor pada 2016.
Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2017 itu juga pernah mendapat pengiktirafan dunia apabila fatwa yang ditulisnya menjadi rujukan.
Beliau menulis satu fatwa menurut Mazhab Syafie berjudul Mudafi’ al-Mazlum bi-Radd al-Muhamil ‘ala Qital Man La Yuqatil’ (Membela Pihak Teraniaya Dengan Menyangkal Kumpulan Pelampau Yang Membunuh Orang Awam).
Fatwa yang mengkritik ekstremis Islam dan golongan pelampau yang menyasarkan orang awam dalam peperangan dan serangan itu disokong ramai ulama Islam dan mendapat pembacaan yang meluas di seluruh dunia.