
Ketua Pemuda Umno berkata cabarannya bukan untuk menunjukkan siapa yang hebat atau kuat tetapi mahu mencari titik persamaan mengenai Melayu dan Islam.
“Saya ajak dia berdialog, dia tolak. Saya nak ajak sekali lagi Syed Saddiq untuk berdialog, mari berdialog dengan saya.
“Kita tahu dia pendebat terbaik dunia tetapi kita nak cari kebenaran mencari titik pertemuan bahawa tidak selamanya isu Islam dan hak Bumiputrra senang-senang diperkotak katikkan,” katanya semasa berucap di himpunan bantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk DIskriminasi Kaum (ICERD) di Jalan Tunku Abdul Rahman hari ini.
Asyraf juga menasihatkan ahli-ahli politik Melayu Pakatan Harapan (PH) supaya tidak menjadi “askar DAP”.
“Jangan ikut puak-puak DAP. Kita tidak pernah cakap Melayu lebih mulia. Sebab itu DAP guna menteri Melayu,” katanya.
Pada 28 Oktober lalu, Syed Saddiq dilapor berkata zaman Ketuanan Melayu telah berakhir selain Malaysia bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan. Beliau juga dilapor berkata perkara tersebut turut menjadi agenda yang akan diperjuangkan PPBM.
Video ahli Parlimen Muar itu turut menjadi tular di media sosial dan menjadi perbincangan orang ramai.
Bagaimanapun, sehari selepas itu, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pandangan Syed Saddiq mengenai Ketuanan Melayu sudah berakhir disalah tafsir seolah-olah PPBM tidak memperjuangkan kepentingan orang Melayu.
Muhyiddin berkata PPBM wujud atas dasar memperjuangkan nasib orang Melayu selaras dengan perkara-perkara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.