Makmal dadah: 7 ditahan polis di Pulau Pinang

Makmal dadah: 7 ditahan polis di Pulau Pinang

Polis merampas pelbagai jenis dadah dan bahan kimia untuk menghasilkan dadah serta peralatan untuk memproses dadah dari 3 buah rumah yang diserbu.

Dipercayai 7 individu berusia 26 hingga 58 tahun merupakan anggota sindiket memproses dan mengedar dadah dengan berpindah randah bagi mengelak dikesan polis. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Polis menahan 7 individu termasuk 3 wanita dan berjaya membongkar makmal memproses dadah serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM534,000 dalam 3 serbuan di sekitar Pulau Pinang pada awal pagi Khamis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan berkata, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sejak sebulan lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pulau Pinang melancarkan operasi dan menyerbu sebuah rumah di Changkat Minden, Gelugor di sini, pada pukul 3.00 pagi.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis menahan 4 orang dan membongkar satu makmal memproses dadah yang beroperasi di rumah teres yang disewa sindiket itu sejak 2 bulan lepas, dan siasatan awal mendapati mereka memproses dadah ekstasi di situ.

“Susulan itu, polis menyerbu sebuah apartmen di kawasan pusat membeli belah Queensbay dan menahan 2 individu, sebelum menyerbu sebuah lagi apartmen di Sungai Dua, di sini, serta menahan seorang lagi anggota sindiket memproses serta mengedar dadah berkenaan,” katanya pada sidang akhbar, di sini, semalam.

Katanya, polis merampas pelbagai jenis dadah dan bahan kimia untuk menghasilkan dadah serta pelbagai peralatan untuk memproses dadah dari 3 buah rumah yang diserbu itu.

Thaiveegan berkata, polis turut merampas 12 butir peluru dan sedang berusaha mengesan senjata api sindiket itu.

“Antara dadah yang kami rampas ialah 3.4 kilogram (kg) ekstasi, syabu (3.5kg), heroin (2.3kg), kafein (22kg), 1,800 biji pil yaba, 218 biji pil ekstasi dan pelbagai jenis bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah,” katanya.

Beliau berkata, dipercayai 7 individu berusia 26 hingga 58 tahun yang merupakan anggota sindiket memproses dan mengedar dadah dengan berpindah randah bagi mengelak dikesan pihak polis dan pasaran dadah yang diproses mereka adalah untuk negeri di utara.

Katanya, lelaki berusia 58 tahun yang ditahan dalam serbuan itu merupakan dalang utama sindiket berkenaan dan dipercayai dia juga mempunyai kepakaran untuk memasak serta memproses dadah.

“Semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 36,500 penagih dadah dan dalam 3 serbuan berkenaan polis turut menyita 4 buah kereta mewah pelbagai jenama, sebuah motosikal, barang kemas, jam tangan, akaun bank serta wang tunai RM6,780.

“Nilai keseluruhan sitaan sekitar RM390,188.44,” katanya.

Katanya, dalang utama sindiket berkenaan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan semua mereka yang tidak bekerja itu kini direman sehingga 7 Nov ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.