Peruntukan KDN, Pertahanan kurang, pakar bimbang tahap keselamatan negara

Peruntukan KDN, Pertahanan kurang, pakar bimbang tahap keselamatan negara

RM5.9 bilion hanya cukup untuk menampung kos penyelenggaraan, bukannya untuk memiliki aset baru.

Mohd Mizan berkata, tanpa peruntukan tambahan kedua-dua kementerian perlu mencari pendapatan sendiri bagi memenuhi keperluan sebenarnya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:Pakar keselamatan tempatan melahirkan rasa bimbang susulan keputusan kerajaan mengumumkan peruntukan pembangunan sebanyak RM5.9 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pakar deradikalisasi di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, jika benar angka tersebut merupakan jumlah yang diperuntukkan bagi kedua-dua kementerian, maka ia meletakkan tahap keselamatan negara dalam keadaan berisiko.

“Wang RM5.9 bilion itu hanya cukup untuk kos penyelenggaraan sahaja, bukan untuk memiliki aset baru.

“Ini akan menyebabkan sistem pertahanan negara kemungkinan besar tidak akan memiliki senjata terkini dan terbaru.

“Saya melihat kemungkinan ancaman kegiatan jenayah dan keganasan akan menjadi isu besar. Negara juga negara mungkin mengalami masalah tidak mampu memiliki peralatan canggih.

“Ancaman semakin banyak dan hebat tetapi kita tidak bergerak seiring, maknanya ancaman menjadi lebih besar dan kita meletakkan negara dalam keadaan berisiko,” katanya kepada FMT.

Dalam pembentangan Bajet 2019 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng bertemakan “Malaysia Wibawa Ekonomi Dinamik Rakyat Sejahtera” semalam, kerajaan menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM5.9 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Peruntukan itu diletakkan di bawah strategi keenam iaitu meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dan perlu dengan kebajikan sosial.

Mizan berkata, jika hanya sebanyak itu peruntukan pembangunan yang diberikan kepada kedua-dua kementerian tersebut, beliau percaya akan ada desakan supaya kerajaan membuat semakan semula.

“Saya berpandangan kerajaan mungkin perlu menyemak semula bajet, terutamanya bagi peruntukan membeli aset keselamatan baru mengikut peredaran zaman,” katanya, sambil memaklumkan tanpa peruntukan tambahan kedua-dua kementerian itu perlu mencari pendapatan sendiri bagi memenuhi keperluan sebenarnya.

Berdasarkan Belanjawan 2018, kerajaan memperuntukkan lebih RM17 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan difahamkan kira-kira RM8 bilion untuk Kementerian Dalam Negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.