
Katanya, pada masa sekarang tempoh penyelesaian pertikaian ialah antara 7 ke 9 tahun sekiranya ia sampai ke Mahkamah Persekutuan.
“Kita mahu memastikan pekerja dan majikan tahu bahawa keputusan akhir pertikaian boleh dicapai dalam tempoh 2 tahun.”
Kula berkata demikian sebagai respons terhadap ucapan belanjawan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa mahkamah rayuan akan diwujudkan bagi menyelesaikan pertikaian lebih cepat.
Lim berkata, kerajaan akan menyemak semua undang-undang buruh bagi memastikan tidak berlaku diskriminasi ke atas pekerja dan kebajikan mereka terpelihara.
Kulasegaran berkata, kehidupan pekerja akan terkesan sebaik sahaja mereka hilang pekerjaan, sementara keluarga mereka turut menerima akibatnya.
“Mereka merujuk kepada Mahkamah Industri bagi memohon dikembalikan semula pekerjaan dan mendapatkan gaji kebelakang.”
Jika proses ini mengambil masa terlalu lama, ia mengakibatkan ketidaktentuan kepada pekerja dan juga majikan mereka.
Di bawah sistem sekarang, majikan atau pekerja perlu memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi jika mereka tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Industri.
Kulasegaran berkata, mahkamah rayuan akan menggantikan fungsi Mahkamah Tinggi, tetapi pihak-pihak yang terkilan masih lagi boleh membawa pertikaian mereka ke Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan.
Katanya, pertikaian industri yang melibatkan perbicaraan mengenai pembuangan kerja tidak adil boleh diselesaikan lebih cepat dengan pelantikan lebih ramai pengerusi Mahkamah Industri.
Peguam Ragunath Kesavan berkata, beliau gembira apabila kerajaan akhirnya memutuskan untuk menstruktur semula proses Mahkamah Industri.
“Majlis Peguam sebelum ini pernah membangkitkan tentang keperluan menyegerakan kes berkaitan pemberhentian kerja kakitangan, oleh itu saya gembira dengan cadangan ini,” kata Ragunath, yang merupakan bekas presiden pertubuhan itu.
Katanya, prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi yang digunakan sekarang menghalang proses rayuan.
“Pertama, pihak terkilan perlu mendapatkan kebenaran daripada mahkamah sebelum hakim Mahkamah Tinggi boleh memutuskan sama ada keputusan pengerusi Mahkamah Industri betul atau sebaliknya,” kata beliau.
Katanya, ini akan menambah beban kewangan pekerja terbabit sekiranya mereka membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. Ia akan menghakis sumber kewangan pekerja berkenaan berikutan kos guaman yang perlu ditanggung mereka.
“Sebilangan pekerja hanya berkemampuan mencabar majikan mereka sekiranya kesatuan sekerja menyokong tindakan undang-undang itu,” tambah beliau.