
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita tentang penerimaan parti itu terhadap lebih kurang 40 orang ahli Parlimen Umno yang dikatakan akan menyertai PPBM.
“Tiada lagi keputusan untuk menerima mereka atau secara beramai-ramai. Jika mereka meninggalkan parti, mereka haruslah menjadi bebas dahulu dan menunjukkan sokongan kepada kerajaan.
“Selepas itu, mereka perlu merayu. Mungkin sesudah itu kita boleh pertimbangkan keputusannya. Tetapi tidak bagi mereka yang mempunyai kes mahkamah ke atasnya,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Negara hari ini, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Hadir sama Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, veteran DAP Lim Kit Siang dan bakal presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Dr Mahathir turut mengulas perkara berikut:
- Perjumpaan dengan parti politik lain.
Apabila ditanya tentang pertemuan beliau dengan beberapa tokoh politik dari parti politik selain PPBM, Dr Mahathir menyifatkan beliau menerima mana-mana kunjungan dari pelbagai pihak.
Terbaru, Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed sah menyertai barisan kerajaan selepas beberapa kali media melaporkan pertemuannya dengan Dr Mahathir.
“Dia selalu jumpa saya sejak zaman pentadbiran Najib lagi, tapi dia takut,” katanya.
- Dana Pakatan Harapan
Sekali lagi, Dr Mahathir mengakui parti itu tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan memerlukan dana untuk kelangsungan parti tersebut segera.
Sehubungan itu, PH mengumumkan satu majlis makan malam akan diadakan bertujuan mengumpul sumbangan dan dana yang akan berlansung bulan hadapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
“Sesiapa yang bagi sumbangan (makan malam), tidak akan diberikan sebarang layanan istimewa. Kita jamin, sebarang pembelian kerusi tidak akan mempengaruhi urusan mereka dan kerajaan,” katanya.
- Bajet 2019
Beliau yang juga perdana menteri memberitahu kerajaan akan sentiasa mempertahankan pembentangan belanjawan negara itu meskipun menerima kritikan bertali arus sejak semalam.
“Kita akan mempertahankan kritikan terhadap bajet ini kerana terdapat cakap-cakap yang mengatakan bajet ini kecil.
“Disebabkan ada masalah kewangan, kita tidak dapat perbesarkan (bajet),” katanya.