Shafie mahu butiran lebih spesifik peruntukan tambahan

Shafie mahu butiran lebih spesifik peruntukan tambahan

Ketua menteri Sabah berkata, negeri itu sememangnya memerlukan lebih banyak peruntukan, tetapi beliau memahami bebanan hutang ditanggung kerajaan pusat.

Shafie Apdal menyambut baik hasrat kerajaan pusat menyumbang 50% daripada kutipan cukai pelancongan kepada negeri bagi membangunkan sektor pelancongan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal menggesa kerajaan pusat memberi butiran lebih spesifik berkaitan peruntukan tambahan kepada negeri itu menerusi Bajet 2019.

“…mengambil kira keadaan ekonomi yang amat mencabar dan kewangan yang terbatas, namun Sabah masih menerima peningkatan peruntukan, iaitu daripada RM4.13 bilion kepada RM5 bilion.

“Namun, kita mahu tahu perinciannya lebih spesifik, cuma jumlah keseluruhan sahaja yang dinyatakan di situ,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Presiden Warisan itu berkata, Sabah sememangnya memerlukan lebih banyak peruntukan, tetapi beliau memahami bebanan hutang ditanggung kerajaan pusat.

Beliau turut menyambut baik hasrat kerajaan pusat menyumbang 50% daripada kutipan cukai pelancongan kepada negeri bagi membangunkan sektor pelancongan.

“Saya yakin sekiranya kerajaan pusat memperolehi RM50 juta, maka RM25 juta akan diperolehi di peringkat negeri. Jika ia meningkat kepada RM100 juta, kemungkinan negeri-negeri yang menggalakkan pelancongan ini akan memperolehi hasil yang lebih banyak.

“Bagi saya, ini satu pendekatan baru untuk meningkatkan lagi sektor pelancongan yang merupakan sektor yang diberi tumpuan oleh Sabah.”

Petang tadi, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Bajet 2019 mengumumkan kerajaan akan berkongsi 50% hasil kutipan daripada cukai pelancongan dengan kerajaan negeri.

Katanya, langkah itu bertujuan membolehkan kerajaan negeri menerima hasil tambahan yang secara agregat dianggarkan berjumlah RM50 juta, apabila aktiviti pelancongan dipergiatkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.